fbpx

Gambar Huawei P30 Pro ini menafikan semua khabar angin sebelum ini

Dalam tempoh sebulan lagi, Huawei akan mengadakan majlis pelancaran siri P30 mereka di Paris. Beberapa gambar bocor telah tersebar di internet tetapi gambar terbaru dari Roland Quandt ini, menafikan berita yang timbul sebelum ini.

Sebelum ini, Huawei P30 Pro dikatakan akan datang dengan 4 kamera belakang. Tetapi maklumat terbaru dari Roland ini memperlihatkan gambar Huawei P30 Pro, dengan hanya 3 kamera belakang.

Tetapi ia masih dalam susunan yang sama, tiga lensa menegak dan LED Flash di tepinya. Bezanya, dua lensa di atas masih dalam bentuk bulatan, tetapi lensa ketiga di bawah sekali berbentuk empat segi. Kenapa?

Rekaan ini amat menyerupai kamera belakang Oppo yang memiliki teknologi 10x zum lossless, iaitu dua lensa biasa dan ultra lebar berbentuk bulatan, dan satu lensa telefoto berbentuk empat segi. Jika benar sama, lensa telefoto pada Huawei P30 Pro ini mungkin menggunakan teknologi periskop seperti teropong kapal selam.

Pada gambar ini juga tertera cap Leica bersama jarak optik dan apertur lensa. Aperturnya tertera nombor F1.6 dan F3.4 manakala jarak fokal pula ialah 16-125mm atau zum 7.8x. Ia lebih panjang dari Huawei Mate 20 Pro dengan jarak fokal 16-80mm dengan zum 5x.

Satu lagi penemuan baru ialah LED Flash di tepi kamera. Terdapat satu lubang di bawah LED Flash itu dan ia mungkin memuatkan kamera Time of Flight atau ToF, sama seperti yang terdapat di Honor View 20. Dengan kamera ToF, ia boleh mengesan kedalaman dengan lebih tepat secara 3 Dimensi. Jadi, tidak salah sebenarnya mengatakan Huawei P30 Pro masih memiliki 4 kamera belakang.

Roland juga berkongsi gambar tentang Huawei P30 yang ada 3 lensa dan LED Flash di bawahnya. Ia tiada kamera ToF, tetapi masih ada cap Leica. Apertur dan jarak fokalnya tertulis F1.8 dan F2.4 dan 17-80mm.

BACA  Satu petunjuk kecil kemunculan Mi 9T Pro ditemui

Kedua-dua telefon ini memiliki rupa depan yang serupa. Skrinnya bertakuk kecil titisan air dan tiada pengimbas capjari fizikal kelihatan. Ia sepatutnya akan menggunakan pengimbas capjari di dalam skrin, seperti Mate 20 Pro.

Jika benar maklumat Roland ini, bermakna gambar yang terdapat di laman web Spigen adalah salah. Jadi, siapakah yang betul dalam hal ni? Jawapannya ada pada 26 Mac nanti, di Paris.

[Sumber: Roland]