Gambar OPPO Reno didedah miliki skrin tanpa bingkai, takuk dan lubang

OPPO Reno telah dijadualkan akan dilancarkan di China pada 10 April 2019. Ia bukanlah jenama baru di bawah OPPO seperti Realme, tetapi siri baru dari OPPO yang kelihatan direka untuk penggemar fesyen.

Laman e-dagang JD.com nampaknya telah lebih awal memuat naik laman OPPO Reno di platform mereka, memperlihatkan rupa OPPO Reno dengan lengkap.

OPPO Reno disenaraikan dengan empat pilihan warna dengan efek gradien. Boleh dikatakan, warna tersebut ialah hijau-hitam, ungu-biru, kuning-putih dan hitam-kelabu.

Dari rupa yang dipaparkan, OPPO Reno memiliki skrin tanpa bingkai, tetapi tiada takuk dan lubang. Pendek kata, tidak kelihatan langsung kamera hadapan. Tiada juga gambar yang menunjukkan bagaimana kamera hadapan berfungsi.

Di belakang pula, hanya ada dua kamera bersama satu LED Flash. Ini sedikit sebanyak menafikan kedatangan kamera zum 10x lossless kerana ketiadaan modul periskop di belakang, seperti yang terdapat di Huawei P30 Pro. Mungkinkah ada versi lain Reno yang masih disembunyikan?

Laman di JD.com tersebut masih tidak menyenaraikan spesifikasi penuh OPPO Reno tetapi ia berkongsi beberapa maklumat. Antaranya kamera 48MP dengan fungsi Super Clear Pixel dan Panoramic Screen, seperti yang terdapat pada OPPO F11 Pro. Ia juga memiliki NFC serta menyokong pengecasan pantas VOOC 3.0.

Dengan skrin tiada bingkai dan tiada takuk, sudah pasti OPPO Reno memiliki modul kamera hadapan tersembunyi. Persoalannya, teknik apakah yang akan digunakan untuk mengeluarkan modul kamera ini. Adakah ia jenis melungsur seperti Find X atau terkeluar seperti F11 Pro?

Jawapannya mungkin terdapat pada satu video OPPO Reno yang telah terbocor ini, ia menunjukkan, OPPO Reno menggunakan cara separa melungsur. Cara ini tidak pernah digunakan di mana-mana telefon pintar sebelum ini.

BACA  Dapatkan OPPO F11 Pro Avengers secara percuma dengan pascabayar Celcom

OPPO Reno akan dilancarkan pada 10 April 2019 di China. Peranti ini telah tersenarai di dalam SIRIM, bermakna ia sedia untuk dijual di Malaysia.

Kenali serba-sedikit mengenai fungsi OPPO Reno dalam video trailer rasmi di bawah ini:

[Sumber: JD.com, GSMarena]