fbpx

Rupa Galaxy Note 10 dan Huawei P30 macam kembar seiras

Kurang dari 3 bulan lagi mungkin Galaxy Note 10 akan dilancarkan. Tetapi ia tidak menghalang sebarang berita mengenai rupa sebenar ia untuk mula diceritakan dari sekarang. Sebelum ini kita dihidangkan dengan gambaran kamera belakang menegak dan kini ia mungkin adalah rupa sebenar keseluruhannya.

Salah seorang pembocor berita terkemuka, Steve H.McFly aka @Onleaks telah berkongsi reka bentuk Galaxy Note 10 yang diolah sendiri ke dalam gambar dan video 360-darjah. Steve sebelum ini sering berjaya memberi gambaran sebenar peranti yang belum dilancarkan dalam bentuk video 360-darjah.

Seperti yang kelihatan dalam gambaran yang dihasilkan Ben Geskin sebelum ini, rupanya tidak jauh berbeza dengan gambaran oleh Steve. Di hadapan, Galaxy Note 10 masih mengekalkan skrin berlubang, tetapi kali ini lubang tersebut di tengah, bukan lagi di sebelah kanan.

Steve menerangkan, Galaxy Note 10 akan datang dengan skrin lebih kecil 6.3-inci tetapi kekal dengan resolusi QuadHD+. Ia menggunakan paparan Dynamic AMOLED dengan lengkung di kedua belah sisi skrin. Untuk perbandingan, Galaxy Note9 dan S10+ menggunakan skrin berukuran 6.4-inci dengan lengkung di sisi.

Di belakang pula, Galaxy Note 10 akan memiliki tiga kamera seperti Galaxy S10, cuma susunannya bukan lagi mendatar tetapi menegak di sebelah kiri. Ini menjadikan rekaan belakang Galaxy Note 10 sangat serupa dengan siri Huawei P30.

Gambaran ini juga menunjukkan Galaxy Note 10 tidak lagi memiliki pengimbas degupan jantung di tepi LED Flash, serta tiada pengimbas capjari fizikal kelihatan. Sudah pasti, ini kerana ia menggunakan pengimbas capjari di dalam skrin, dijangka dari jenis ultrasonik seperti di Galaxy S10.

Bila diperhatikan di sekeliling telefon, didapati tiada lagi butang fizikal di sebelah kanan. Tetapi masih ada butang fizikal di tepi kiri telefon. Ini agak berbeza dengan tradisi Samsung kerana biasanya ia menggunakan butang kuasa di sebelah kanan dan butang kawalan bunyi di sebelah kiri.

BACA  Kenapakah Anda Tak Boleh Harapkan Google Sahaja Untuk Lindungi Android Anda?

Di bahagian bawah pula, dapat dilihat port USB-C bersama jeriji pembesar suara dan tempat menyimpan S-Pen. Tetapi jek audio 3.5mm tidak lagi kelihatan dan ini mungkin pertama kali Samsung akan membuangnya untuk siri Galaxy Note.

Selain dari gambaran ini, Galaxy Note 10 dikhabarkan akan datang dengan bateri lebih besar dari sebelumnya iaitu 4,500mAh bersama pengecas yang lebih berkuasa 45W. Malah, ia juga akan diperkenalkan dalam versi bajet yang lebih kecil seperti Galaxy S10e.

Dengan lubang di tengah, nampaknya ia tidak ada beza dengan takuk kecil titisan air dalam skrin Inifity-O atau Infinity-V. Penulis sendiri tidak gemarkan lubang atau takuk di tengah kerana ia sangat mengganggu ketika bermain game.

(kiri) gambaran Galaxy Note 10 dan (kanan) Huawei P30 pro

Mungkin Samsung harus lebih cepat memperkenalkan kamera hadapan di dalam skrin kerana pengeluar dari China iaitu Oppo dan Xiaomi telahpun berkongsi demo peranti mereka dengan teknologi ini. Samsung selaku peneraju inovasi di skrin pasti telah memiliki teknologi ini tetapi mereka mungkin mengambil langkah lebih berhati-hati selepas tragedi skrin boleh lipat di Galaxy Fold yang belum selesai sehingga kini.

Sumber: 91mobiles, @OnLeaks