Nubia Red Magic 3 telah berada di pasaran antarabangsa sejak bulan Mei lepas. Ia menggantikan Red Magic 2 yang dikenali sebagai Red Magic Mars di peringkat global, termasuk di Malaysia. Telefon pintar gaming berkuasa tinggi ini kini dikatakan akan datang ke Malaysia tidak lama lagi.
Facebook Nubia Malaysia telah memuat naik sebuah status bergambar. Gambar tersebut menyatakan, Red magic 3 akan datang ke Malaysia tidak lama lagi. Bagaimanapun, tiada sebarang tarikh diberikan.
Satu tarikan utama di Red Magic 3 ialah ia memiliki kipas di dalamnya. Menurut Nubia, penggunaan kipas sebagai elemen penyejuk adalah pertama seumpamanya di telefon pintar. Dengan ini, telefon boleh menjadi jauh lebih sejuk dari biasa.
Skrin di Red Magic 3 juga kini lebih hebat. Ia berukuran 6.65-inci dari jenis AMOLED, tiada lubang dan takuk, dengan resolusi HD penuh+ dan menyokong HDR serta kadar segar semula setinggi 90Hz. Ini boleh memberi pengalaman bermain game yang lebih lancar dan menarik.
Prestasi tertinggi dilengkapkan pada Red Magic 3 dengan menggunakan pemproses Snapdragon 855, RAM sehingga 12GB dan storan mencecah 256GB. Ia turut memiliki strip LED RGB di belakang, salah satu perkara yang menjadikannya sangat mirip dengan pelbagai aksesori gaming di komputer masakini.
Untuk kamera, Red Magic 3 hanya ada satu kamera belakang dan satu lagi di depan. Kamera belakangnya menggunakan sensor Sony IMX586 48MP F1.7 yang mampu merakam video sehingga resolusi 8K dan gerak perlahan 1080p. Manakala kamera hadapannya 16MP F2.0.
Bateri di dalam Red Magic 3 sangat besar, berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W melalui sambungan USB-C. Menambah keseronokan bermain game di Red Magic 3 ialah stereo speaker yang menembak bunyi terus ke muka pengguna, serta jek audio 3.5mm yang membolehkan fon kepala berwayar digunakan.
Red Magic 3 juga memiliki butang kapasitif L1 & R1 di sebelah kanan telefon. Apabila telefon dipegang secara mendatar, ia bertindak sebagai butang tambahan yang banyak membantu semasa bermain games.
Semasa diumumkan bulan lepas, Red Magic 3 diberikan tanda harga seperti berikut:
- Red Magic 3 (RAM 8GB + storan 128GB) – USD479 (~RM1,994)
- Red Magic 3 (RAM 12GB + storan 256GB) – USD479 (~RM2,494)
Generasi sebelum ini, Red Magic Mars telah dijual di Malaysia pada harga RM1,899 untuk RAM 8GB dan storan 128GB. Mungkin kita boleh melihat Red Magic 3 akan dijual di Malaysia dengan harga bermula di bawah RM2,000.
Adakah ini pilihan yang lebih baik dari ASUS ROG Phone atau Black Shark 2 yang kini berharga RM2,499 dengan RAM dan storan yang sama?