fbpx

Prapesanan pelindung kamera ini mengesahkan rekaan depan dan belakang iPhone 11

Sebelum ini, seorang pembocor berita, Ben Geskin telah berkongsi sebuah acuan rekaan iPhone 2019. Menerusi acuan tersebut, kita dapat lihat rekaan tiga kamera disusun dalam satu bingkai yang sama.

Terbaru, sebuah pengilang aksesori telefon, Olixar telah menghasilkan pelindung kaca untuk kamera utama iPhone 11. Ia juga hadir dengan tiga versi yang berbeza untuk tiga model siri iPhone keluaran 2019.

Tiga pelindung kamera itu dikhabarkan untuk iPhone 11, 11 Max dan 11R. Pelindung kamera bagi iPhone 11 dan 11 Max mempunyai rekaan yang sama, manakala pelindung kamera untuk iPhone 11R mempunyai rekaan yang sedikit berbeza, memiliki dua kamera sahaja.

Sebelum ini terdapat ura-ura mengatakan iPhone 11 akan memiliki tiga kamera utama dengan penambahan kamera lensa lebar. Manakala iPhone 11R pula memiliki dua kamera utama iaitu kamera telephoto dan kamera biasa.

Khabar angin tersebut juga melaporkan Apple akan menawarkan quad-LED flash yang lebih cerah pada bahagian belakang dan bump kamera yang lebih nipis dari model iPhone yang sebelumnya.

Bukan itu sahaja, Olixar juga menghasilkan pelindung skrin untuk siri iPhone 11 dan pengguna sudah boleh membuat prapesanan dari Mobile Fun UK.

Olixar sangat bagus dalam membocorkan rekaan telefon yang akan datang dengan menjual rekaan sarung telefon sebelum peranti itu dilancarkan. Namun ia agak mengelirukan apabila pelindung skrin iPhone 11 kelihatan sama dengan iPhone XS Max tetapi jeriji pembesar suaranya kelihatan lebih besar dari yang sebelumnya.

Pengilang itu juga yakin bahawa rekaan iPhone 11 akan kelihatan seperti itu kerana mereka sudah menyiapkan pelindung tersebut dan bersedia untuk menjualnya.

Seperti biasa, iPhone 11 dijangka bakal dilancarkan pada bulan September 2019 ini.

BACA  Apple Buang Bendera Taiwan Daripada iOS, Tapi Kenapa?

Sumber: GSM Arena, Mobile Fun UK