fbpx

Unifi AIR jalan penyelesaian untuk pengguna Streamyx?

Perkembangan jalur lebar di Malaysia telah menyaksikan harga internet di rumah menjadi semakin murah dan kelajuan berkali ganda lebih pantas. Tetapi perkara ini tidak dapat dirasai pengguna Streamyx kerana kekangan teknologi dan TM masih mengekalkan harga lama yang jauh lebih mahal dari Unifi.

Tetapi satu slaid pembentangan yang terbocor ke internet mungkin satu jawapan buat pengguna Streamyx. Amanz melaporkan TM dalam langkah untuk memperkenalkan Unifi AIR, satu bentuk jalur lebar wayarles bagi menaik taraf internet pengguna Streamyx yang berada di luar liputan unifi.

Unifi AIR memberi pengguna akses kepada kelajuan pantas menerusi rangkaian LTE 2.3GHz (mungkin typo pada 2.3MHz). Ia diterima menerusi modem LTE Huawei B618-65D yang dikunci sim pada modem tersebut, tidak boleh diguna di telefon.

Modem ini menjanjikan kelajuan yang lebih pantas dari talian mudah alih telefon dan membenarkan sambungan hingga 64 peranti sekaligus. Slaid tersebut juga menerangkan, pemasangannya sangat mudah, hanya palam dan guna (plug and play). Tidak perlu kedatangan juruteknik untuk memasangnya.

Pelan Unifi AIR ini akan dikenakan bayaran RM79/bulan dan ditawarkan tanpa had kuota bersama kontrak selama 24-bulan. Tiada bayaran pendahuluan dikenakan dan modem LTE diberikan percuma.

Slaid ini juga mencadangkan tiada bayaran dikenakan untuk bulan pertama dan pengguna Streamyx masih mengekalkan talian Streamyx selama sebulan sehingga pelanggan berpuas hati dengan Unifi AIR.

Seperkara lagi, pemberhentian langganan dan pemulangan peranti hanya boleh dibuat di TM Point.

Dari penerangan slaid ini, ia amat menyerupai pelan Unifi Wireless Broadband yang menawarkan kelajuan menerupai jalur lebar dengan bayaran RM79/bilan, tetapi dihadkan kuota ke 60GB. Pelan ini juga memerlukan pengguna membeli modem LTE berasingan tetapi tidak mengenakan sebarang kontrak.

BACA  Kemas Kini Android Q Akan Tampilkan Fast Share, Ciri Seperti AirDrop

TM juga sebelum ini telah memperkenalkan teknologi pra-5G TDD atau Massive MIMO. Ia menggunakan teknologi wayarles 2.3GHz dengan kapasiti kelajuan sehingga 500Mbps.

Menara pemancar TM Massive MIMO

Ini dilihat sebagai satu penyelesaian kepada pengguna Streamyx serta lokasi yang tidak boleh dipasang gentian optik kerana pemasangan menara pemancar berkelajuan tinggi adalah cara yang lebih mudah dan efektif.

Tetapi masalah utamanya ialah liputan. Laporan Opensignal terbaru menyatakan rangkaian wayarles TM berada di kelompok terendah, di bawah Celcom, Digi serta Maxis dan setaraf dengan U Mobile. Banyak kerja perlu dilakukan TM untuk menjangkau pengguna Streamyx yang berada di luar liputan Unifi.

Bulan lepas, TM telah berjanji kepada Menteri Komunikasi & Multimedia, Gobind Singah untuk memberi penyelesain kepada pengguna Streamyx dalam masa sebulan, dan tempoh itu kian hampir. Adakah ini jalan yang mereka temui atau ada lagi cadangan lain?

Kita tunggu dan lihat. Semoga pengguna Strramyx menemui sinar cahaya walaupun tidak menggunakan kaca gentian optik.

Sumber: Amanz