fbpx

Digi perkenal pelan jalur lebar berkelajuan sehingga 1Gbps

Digi sebelum ini telah menawarkan pelan jalur lebar tetap dengan kelajuan 50Mbps dan 100Mbps. Kini Digi menambah lagi tawaran ini dengan pelan berkelajuan 500Mbps dan 1Gbps. Selain itu, Digi turut menawarkan pelan kombo, yang menggabungkan pelan jalur lebar tetap bersama talian mudah alih dengan lebih penjimatan, tetapi hanya di Sabah.

Semua pelan jalur lebar tetap Digi tiada had kuota dan dikenakan kontrak selama 24-bulan. Untuk kelajuan 50Mbps, ia berharga RM99/bulan, Pelan 100Mbps pula RM129/bulan. Bagi kelajuan lebih tinggi 500Mbps, pengguna perlu membayar RM159/bulan dan kelajuan 1Gbps, dikenakan bayaran RM199/bulan.

Untuk perbandingan, Maxis menawarkan jalur lebar tetap berkelajuan 500Mbps pada harga RM219/bulan, manakala kelajuan 800Mbps pula RM299/bulan. Di TIME pula, kelajuan 500Mbps dikenakan bayaran RM139/bulan dan untuk 1Gbps ialah RM199/bulan.

Kelajuan yang disebut tadi adalah untuk muat turun sahaja. Bagi muat naik, kelajuan di pelan 50Mbps dan 100Mbps adalah sama dengan muat turun. Tetapi pelan 500Mbps dan 1Gbps, memiliki kelajuan muat naik hanya 200Mbps.

Perkara paling penting sekali ialah liputan. Buat masa ini, liputan jalur lebar tetap Digi sangat terhad, jauh lebih kecil dari Unifi. Semasa ia diumumkan tiba di Lembah Klang pada bulan April lepas, ia hanya meliputi Bandar Sunway, Bangi, Kajang, Rawang, Shah Alam dan Subang.

Digi menawarkan khidmat pemasangan percuma yang akan datang dalam masa 48 jam selepas pendaftaran dibuat. Perlu diingatkan, Digi tidak menyediakan perkhidmatan suara bersama pelan jalur lebar tetap ini. Untuk maklumat lanjut serta menyemak kawasan liputan, layari laman web Digi Home Fibre.

Kombo Digi Home Fibre dan Mudah Alih

Khas untuk pengguna di Sabah, Digi kini menyediakan tawaran istimewa dengan diskaun sehingga RM20 jika melanggan pelan jalur lebar tetap Home Fibre bersama pelan mudah alih pascabayar. Dalam tawaran ini, pelan jalur lebar tetap 500Mbps dikenakan hanya RM139/bulan manakala 1Gbps ialah RM179/bulan.

BACA  Huawei akan dibenarkan kembali berniaga di Amerika Syarikat

Tawaran terendah ialah gabungan pelan jalur lebar tetap 50Mbps bersama pelan Digi Postpaid 80 (kuota 20GB) pada harga RM169/bulan. Talian tambahan dengan kuota yang sama dengan talian utama, boleh dilanggan hanya RM39/bulan.

Orang ramai boleh mendapatkan tawaran ini sehingga 30 September 2019. Semak lebih lanjut tentang tawaran ini menerusi laman promosi Digi Home Fibre Sabah Special.