Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Adakah app MySejahtera dibangunkan syarikat luar negara?

MySejahtera adalah satu aplikasi mudahalih yang digunakan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara. Ia turut digunakan sebagai aplikasi untuk mendaftar masuk bangunan dan premis perniagaan, agar dapat digunakan untuk mengesan kontak COVID-19.

Semasa pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada awal Jun lepas, kerajaan mengumumkan bantuan tunai kepada rakyat, dalam bentuk RM50 di dalam dompet elektronik (e-wallet). Bagaimanapun, bantuan yang akan diberikan bermula pertengahan Julai ini mewajibkan rakyat untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera terlebih dahulu.

NEF temui MySejahtera dibangunkan syarikat AS

Tetapi ada pihak membidas kerajaan kerana menggunakan aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh syarikat luar negara. Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) telah mengeluarkan kenyataan media yang mempersoalkan, banyak projek kerajaan skala besar dianugerahkan kepada syarikat asing.

Salah satu darinya ialah aplikasi MySejahtera. NEF menyatakan ia dibangunkan dengan usahasama syarikat dari Amerika Syarikat, KPISoft Inc. Syarikat ini juga mempunyai ibu pejabat Asia di Singapura.

MKN perjelas, KPISoft adalah syarikat Malaysia

Majlis Keselamatan Negara (MKN) kemudian membidas kenyataan NEF. Menurut MKN, syarikat KPISoft adalah syarikat tempatan berstatus MSC yang ditubuhkan pada 2010. Pengasas syarikat ini adalah dua orang rakyat Malaysia iaitu Encik Anuar Rozhan dan Encik Raveenderan Ramamoothie.

Syarikat ini telah berkembang ke serata dunia dengan ibu pejabat di Asia-Pasifik serta pejabat di Amerika Syarikat, Timur Tengah, Eropah, Singapura dan India. Walaupun telah meluaskan perniagaan, KPISoft masih berpengkalan di Malaysia dan Asia Pasifik, dengan Ketua Pegawai Kewangan Global dan ketua Arkitek Pembangunan Aplikasi Global adalah rakyat Malaysia.

Pemilihan aplikasi MySejahtera oleh syarikat KPISoft dibuat selepas penilaian oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), MKN. Ia kemudiannya dibangunkankan secara bersama antara MKN, MAMPU, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

BACA  Tebus RM50 ePenjana, semua yang anda perlu tahu

KPISoft adalah syarikat Singapura?

Tetapi kenyataan MKN dilihat bercanggah dengan maklumat yang terdapat di internet. Carian KPISoft Malaysia tidak membawa ke sebarang laman web rasmi, sebaliknya ia memaparkan laman web utama KPISoft www.kpisoft.com yang beribupejabat di Amerika Syarikat, Singapura, Dubai dan Vienna.

Laman web tersebut menyenaraikan tiga orang pengasas iaitu Dr Finian Tan, Ravee Ramamoothie dan Naveen Deshpande. Pautan ke LinkedIn pula menunjukkan KPISoft telah ditubuhkan pada tahun 2008.

Nama Anuar Rozhan pula tidak ditemui di laman web ini, sehinggalah carian membawa kepada akaun LinkedIn beliau. Ia menunjukkan bahawa Anuar Rozhan memegang jawatan CEO bagi KPISoft Malaysia sejak tahun 2015.

Akaun LinkedIn Ravee Ramamoothie pula menyatakan beliau memegang jawatan CEO Kumpulan KPISoft di Singapura, sejak 2008. Seorang lagi pengasas, Dr Finian Tan pula ialah rakyat Singapura yang pernah memegang jawatan penting di dalam kerajaan Singapura.

Dari hasil carian Google yang ringkas ini, menunjukkan pengasas KPISoft berasal dari Singapura dan ibupejabat mereka juga di Singapura, tiada di Kuala Lumpur. Jadi, adakah benar kenyataan NEF bahawa MySejahtera bukan dibangunkan oleh syarikat yang dimiliki rakyat Malaysia?

Selain aplikasi MySejahtera, NEF juga mendakwa beberapa lagi perisian yang digunakan kerajaan tidak menggunakan kepakaran tempatan seperti DELima oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MyFutureJobs oleh PERKESO.

Sumber: NEF, MKN, Malay Mail