Mi Smart Band 5 akan dijual secara rasmi di Malaysia minggu ini

Dalam majlis pelancaran global Xiaomi minggu lepas, salah satu produk yang diketengahkan adalah penjejak kecergasan, Mi Smart Band 5. Hari ini, Xiaomi Malaysia memaklumkan bahawa peranti ini akan dijual di Malaysia, bermula minggu ini.

Orang ramai di Malaysia akan boleh mendapatkan set rasmi Mi Smart Band 5 Malaysia, bermula hari Jumaat ini, 24 Julai 2020. Buat masa ini, Xiaomi Malaysia masih belum menyatakan berapakah harganya.

Untuk perbandingan, Mi Smart Band 5 yang diumumkan minggu lepas, dijual di Eropah pada harga EUR 39.99 (~RM194). Ini sedikit lebih mahal dari harga Mi Smart Band 4 ketika dilancarkan, iaitu EUR 34.99 (~RM170).

Di Malaysia, harga rasmi untuk Mi Smart Band 4 ialah RM149. Jadi harga Mi Smart Band 5 boleh dijangka lebih mahal sekitar RM 20-30.

Antara pembaharuan di Mi Smart Band 5 berbanding versi terdahulu adalah skrin AMOLED lebih besar berukuran 1.1-inci, pengecas magnetik, alat kawalan jauh kamera dan pengesan jejak lebih tepat.

Banyak perkara masih dikekalkan untuk Mi Smart Band 5 antaranya penjejak kecergasan, pengesan denyutan nadi 24/7, penjejak waktu tidur, serta kalis air sehingga 5ATM, atau sehingga 50 meter di bawah air.

Tetapi terdapat beberapa perkara yang tiada di Mi Smart Band 5 global, berbanding versi di China. Antaranya tiada NFC terbina di dalam, tiada pengesan SpO2 dan tiada pembantu suara maya.

Nantikan pengumuman selanjutnya dari Xiaomi Malaysia, berkenaan harga jualan Mi Smart Band 5 tidak lama lagi.

Sumber: Facebook