Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Saifuddin jelaskan akta Finas tidak akan digunakan untuk sekat media sosial

Selepas beberapa jam huru-hara di media sosial serta kenyataan demi kenyataan oleh beberapa ahli parlimen, akhirnya Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah mengeluarkan kenyataan balas terhadap jawapan yang beliau berikan di parlimen pagi tadi. Beliau sebelum ini mengatakan, segala bentuk rakaman video termasuk di media sosial perlu memohon kelulusan Finas terlebih dahulu.

Saifuddin berkata, beliau hanya menerangkan tentang undang-undang yang sedia ada, iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] yang diluluskan Parlimen pada tahun 1981. Akta tersebut telah digunakan selama ini, iaitu oleh kerajaan-kerajaan terdahulu, termasuk kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Sumber: Facebook

Pada 1981, teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ambil maklum bahawa Akta ini perlu penambahbaikan. Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika Akta ini digubal.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini, Gobind Singh membalas jawapan Saifuddin di parlimen pagi tadi menerusi status di Facebook. Gobind menyatakan bahawa pentadbiran Perikatan Nasional mengambil langkah ke belakang yang boleh menyekat kebebasan media. Malah ia tidak praktikal untuk memerlukan semua orang mematuhi Seksyen 21 dan 22 di dalam Akta Finas.

Tambah Gobind, menteri berkuasa untuk mengecualikan sesiapa sahaja dari perlu mematuhi mana-mana Akta menurut Seksyen 34A. Beliau menyeru agar menteri masa kini untuk melihat dan membaca dengan teliti terlebih dahulu, bersifat realistik serta praktikal, untuk disesuaikan dengan arus pemodenan teknologi terkini.

Sebelum ini, Gobind telah mempertikaikan tindakan Saifuddin yang mengarahkan pemberian spektrum 700MHz kepada 5 syarikat telekomunikasi secara terus, tanpa tender terbuka. Tidak lama selepas itu, Saifuddin telah menarik balik arahan tersebut dan menyatakan akan mengkaji pemberian spektrum 5G dengan lebih lanjut.

BACA  Penyelidik di Arab Saudi bangunkan Wi-Fi dalam air, Aqua-Fi

Sumber: Facebook