Harga rasmi Proton X50 diumumkan, bermula dari RM79,200

Selepas lebih sebulan dilancarkan, Proton hari ini mengumumkan harga rasmi untuk kenderaan SUV terbaru mereka, Proton X50. Seperti yang dijangka, harganya lebih rendah dari Proton X70, bermula dari RM79,200.

Berikut ialah harga untuk semua varian Proton X50 (Atas Jalan tanpa Insuran) di Malaysia:

Semenanjung Malaysia

Proton X50 1.5T Standard – RM79,200
Proton X50 1.5T Executive – RM84,800
Proton X50 1.5T Premium – RM93,200
Proton X50 1.5 TGDi Flagship – RM103,300

Sabah & Sarawak

Proton X50 1.5T Standard – RM81,200
Proton X50 1.5T Executive – RM86,800
Proton X50 1.5T Premium – RM95,200
Proton X50 1.5 TGDi Flagship – RM105,300

Harga di atas termasuk pengecualian cukai jualan (SST) dan sah sehingga 31 Disember 2020.

Proton turut mengumumkan pakej khas untuk pemilik Proton X50. Mereka akan menerima jaminan jarak tempuh tanpa had serta pakej data 1GB/bulan percuma, kedua-duanya selama 5 tahun. Proton turut menawarkan kadar pembiayaan pinjaman yang rendah, dari 2.22% menerusi syarikat kewangan Proton Commerce Sdn Bhd.

Khas untuk 30,000 tempahan terawal, pembeli juga menerima 5 kali caj buruh percuma ketika servis. Tawaran ini sah sehingga untuk tempahan sehingga 31 Disember 2020 sahaja.

Sebagai tambahan, Proton turut menawarkan program insuran Proton, yang menyediakan perlindungan seperti bantuan banjir dan perlindungan kemalangan peribadi.

Jika anda belum tahu perbezaan antara varian Proton X50, boleh rujuk dari gambar di bawah ini.

Proton X50 dibina berasaskan model Geely Binyue dan dipasang di kilang pengeluaran Proton Tanjung Malim, Perak. Ia diperkasa dua jenis enjin yang dibina dengan kerjasama Geely dan Volvo. Varian teratas Flagship, dikuasakan enjin 1.5-liter TGDi 3-silinder Turbocaj yang menghasilkan kuasa 177PS (175hp) dan tork 255Nm. Ia boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 7.9 saat dan memiliki kadar penggunaan petrol sebanyak 6.4L bagi 100km.

3 lagi varian yang lebih rendah iaitu Standard, Executive dan Premium, dipasang enjin 1.5-liter 3-silinder Turbocaj yang mengeluarkan kuasa 150PS (148hp) dan tork 226Nm. Kesemua empat model ini dipadankan dengan kotak gear DCT 7-transmisi yang datang dengan mod manual.

Model Standard dilengkapi 4 beg udara manakala model Executive ke atas, dipasang dengan 6 beg udara. Proton X50 turut menerima pengiktirafan tertinggi 5-bintang dari ASEAN NCAP, di mana ia diuji berdasarkan model Standard.

Di bahagian dalam pula, semua model Proton X50 dilengkapi pendingin hawa serta port mengecas USB untuk tempat duduk belakang. Sistem infotaimen dengan skrin sentuh 10.25-inci terdapat di model Flagship dan Premium, manakala dua model di bawah menggunakan skrin sentuh 8.0-inci. Sistem infotaimen ini menyokong arahan suara “Hai Proton” seperti di Proton X70, tetapi ia tidak menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Lihat lebih banyak gambar yang menarik, di bahagian dalam dan luar Proton X50 di dalam galeri gambar kami di bawah ini. Jika anda berminat untuk menempah Proton X50, segera ke pusat jualan Proton berhampiran.