Disney+ Hotstar akan tiba di Malaysia, boleh saingi Netflix dengan harga lebih murah

Disney+ adalah platform penstriman video yang dibangunkan oleh Disney dan dilancarkan pada hujung tahun 2019. Ia masih belum tersedia di Malaysia tetapi kemunculan satu akaun Instagram memberi petunjuk akan kedatangannya ke sini tidak lama lagi.

Akaun Instagram @disneyplushotstarmy yang telah disahkan (verified) telah dicipta dan memuat naik gambar ‘LOADING‘. Ini menunjukkan ia adalah akaun rasmi untuk Disney+ Hotstar Malaysia. Perkara sama ini dilakukan oleh Disney sewaktu mahu memulakan Disney+ di Singapura, dengan memuat naik gambar ‘LOADING’ di akaun Instagram Disney+ Singapura.

Gambar itu dimuat naik pada 10 Disember 2020 dan keesokan harinya, Disney+ diumumkan akan memulakan perkhidmatannya di Singapura pada 23 Februari 2021. Jika mengikut garis masa yang sama, kita akan mengetahui tentang tarikh pelancaran Disney+ di Malaysia dalam masa beberapa hari ini. Ia mungkin akan bersiaran sekitar bulan Mac 2021.

Kandungan keluaran Disney tidak ada di platform lain

Disney merupakan salah satu pengeluar kandungan terbesar di dunia, memegang beberapa francais filem dan siri terkenal seperti Marvel, Disney, Pixar, Star Wars, National Geographic. Dengan pelancaran platform penstriman Disney+, Disney telah berhenti menyiarkan kandungan mereka di platform lain.

Ini boleh dilihat apabila Astro telah berhenti menyiarkan saluran Disney XD HD, Disney Channel HD dan Disney Junior HD pada 31 Disember 2020. Siri filem Marvel yang paling popular, Avengers dan juga Star Wars, juga telah dihenti siar di Netflix. Ini sahaja telah menjadi petunjuk bahawa Disney+ akan memulakan perkhidmatan di Malaysia, dengan menawarkan kandungan mereka di platform sendiri.

Yuran langganan Disney+ lebih murah dari Netflix

Selain Singapura, Disney+ telah dilancarkan lebih awal di Indonesia iaitu pada September 2020. Bagaimanapun, ia dikenali sebagai Disney+ Hotstar sama seperti di India. Secara kasar, Disney+ Hotstar turut menyediakan kandungan tempatan di platformnya, berbanding kandungan yang dihasilkan oleh Disney sahaja.

Dengan membandingkan harga di Indonesia dan Singapura, kita boleh mendapat gambaran tentang berapakah yuran langganan Disney+ di Malaysia nanti. Harga langganan Netflix dan Disney+ di Indonesia dan Singapura adalah seperti berikut:

Netflix Indonesia

  • Mobile – IDR 54,000 (~RM15.50)
  • Basic – IDR 120,000 (~RM34.44)
  • Standard – IDR 153,000 (~RM43.91)
  • Premium – IDR 186,000 (~RM53.38)

Netflix Singapura

  • Basic – SGD 11.98 (~RM36.46)
  • Standard – SGD 15.98 (~RM48.63)
  • Premium – SGD 19.98 (~RM60.80)

Netflix Malaysia

  • Mobile – RM 17
  • Basic – RM35
  • Standard – RM 45
  • Premium – RM 55

Disney+ Hotstar Indonesia

  • Bulanan – IDR 39,000 (~RM11.19)
  • Tahunan – IDR 199,000 (~RM57.11)

Disney+ Singapura

  • Bulanan – SGD 11.98 (~RM36.46)
  • Tahunan – SGD 119.98 (~RM365.11)

Kita boleh melihat di mana harga untuk Netflix di Indonesia dan Singapura, tidak jauh berbeza dengan harga Netflix di Malaysia. Bagaimanapun, yuran langganan Disney+ Hotstar Indonesia jauh lebih murah berbanding Netflix Indonesia. Malah yuran tahunannya juga jauh lebih murah, menyamai yuran selama 5 bulan sahaja, percuma 7 bulan lagi.

Berbeza pula di Singapura apabila harga Disney+ adalah sama dengan Netflix. Kelebihannya, Disney+ Singapura menyediakan langganan tahunan yang menyamai bayaran untuk 10 bulan sahaja, percuma 2 bulan. Jadi, pelan Disney+ boleh dikatakan lebih murah dari Netflix di Singapura.

Secara asas, harga pelan Disney+ menyamai dengan pelan Netflix Basic tetapi memberi lebih tawaran. Pelan Netflix Basic hanya boleh ditonton di 1 peranti dengan kualiti SD sahaja. Manakala pelan Disney+ boleh ditonton serentak di 2 peranti dengan kualiti sehingga Ultra HD 4K.

Dengan harga lebih murah dan lebih banyak fungsi ditawarkan, pastinya Disney+ boleh menarik ramai untuk mencubanya, lebih-lebih lagi kepada pengguna Netflix sedia ada. Walaupun kandungan di dalam Disney+ tidaklah sebanyak Netflix, ia memiliki banyak kandungan yang menjadi kegemaran ramai.

Harga langganan Disney+ di Malaysia

Persoalannya selepas ini, berapakah harga yuran Disney+ di Malaysia nanti? Adakah ia akan mengikuti harga di Indonesia memandangkan nama yang sama iaitu Disney+ Hotstar, atau menuruti harga Singapura yang sama dengan Netflix?

Jika harganya sama dengan Netflix, maka langganan Disney+ Hotstar di Malaysia akan menjadi seperti berikut:

  • Bulanan – RM 35
  • Tahunan – RM 350

Adakah anda rasa berbaloi membayar harga ini untuk Disney+ kelak? Kita tunggu pengumuman rasmi dari Disney+ Hotstar Malaysia tidak lama lagi.

[Sumber: Whats On Disney+]