Xiaomi mahu lancar raja baru telefon kelas pertengahan, Redmi Note 10

Xiaomi baru sahaja melancarkan telefon flagship, Mi 11 di Malaysia. Belum sempat ia dijual pada 13 Mac 2021, mereka mengumumkan akan melancarkan pula telefon pintar kelas pertengahan, Redmi Note 10.

Majlis pelancaran Redmi Note 10 akan diadakan pada hari Khamis, 4 Mac 2021 pukul 8 malam. Seperti biasa, ia akan ditayangkan secara langsung menerusi Facebook Xiaomi Malaysia.

Menariknya, Redmi Note 10 telah diumumkan akan dilancarkan di India pada tarikh yang sama. Mereka turut mempromosikan tarikh pelancarannya sebagai 4/3/21. Malah, satu laman mini khas siri Redmi Note 10 telah dibangunkan boleh dilayari di sini.

Dari laman mini tersebut, boleh ditafsirkan bahawa Xiaomi akan memperkenalkan lebih dari satu Redmi Note 10, memandangkan ia dipanggil siri Redmi Note 10. Ini tidak menghairankan kerana Redmi Note 9 sendiri ada 3 jenis di Malaysia.

Sumber

Walaupun tidak memberitahu dengan teliti berkenaan spesifikasi Redmi Note 10, laman mini tersebut ada menyatakan beberapa perkara yang menonjolkan akan ada di Redmi Note 10. Malah, Pengarah Urusan Xiaomi India, Manu Kumar juga ada berkongsi rupa kotak Redmi Note 10.

Antaranya adalah ia ada kamera terbesar di Redmi. Dalam hal ni, tidak dikatakan besar dari segi apa, tetapi dari satu tweet Redmi India menyatakan bahawa Redmi Note 10 akan dilengkapi kamera 108MP, pertama kali ada di siri Redmi.

Seterusnya, Redmi Note 10 juga akan ada skrin paling lancar. Sekali lagi, ia dijelaskan di tweet Redmi India bahawa Redmi Note 10 akan datang bersama skrin sepantas 120hz. Selain itu, skrin ini juga memiliki 2x tahap kecerahan lebih tinggi berbanding sebelumnya dan dilapisi kaca Corning Gorilla Glass.

Redmi Note 10 akan dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon, tetapi ini masih belum diberitahu. Ia direka untuk bermain games, dengan rekaan serba baharu yang lebih ringan dan nipis. Ia juga dilengkapi bateri besar dan pengecasan lebih pantas. Ini mungkin merujuk kepada kapasiti bateri yang sama, tetapi pengecasan pantas melebihi 33W yang ada di Redmi Note 9 lepas.

Untuk sistem bunyi, ia diiktiraf Hi-Res Audio berkualiti tinggi tetapi tidak pula dinyatakan sama ada stereo atau tidak. Redmi Note 10 juga disertakan sistem getaran haptik yang lebih baik.

Selain itu, kita kena tunggu pengumuman rasmi Xiaomi pada majlis pelancarannya nanti. Sedikit sebanyak, Redmi Note 10 akan menyaingi Poco X3 NFC yang dilengkapi cip Snapdragon 732G, RAM 6GB, storan sehingga 128GB, skrin LCD 120Hz, kamera utama 64MP, bateri 5,160mAh dan pengecasan pantas 33W.

Untuk perbandingan, siri Redmi Note 9 dan Poco X3 dilancarkan di Malaysia tahun lepas pada harga seperti berikut:

Poco X3 NFC
RAM 6GB + Storan 64GB – RM 899
RAM 6GB + Storan 128GB – RM 1,099

Redmi Note 9 Pro
RAM 6GB + Storan 128GB – RM 1,099

Redmi Note 9
RAM 3GB + Storan 64GB – RM 649
RAM 4GB + Storan 128GB – RM 749

Redmi Note 9s
RAM 4GB + Storan 64GB – RM 799
RAM 6GB + Storan 128GB – RM 899

Dijangka untuk siri Redmi Note 10 di Malaysia, kita akan melihat tanda harga sekitar ini juga. Nantikan laporan dari kami tentang pelancaran Redmi Note 10 pada hari Khamis ini, 4 Mac 2021.