Oppo Find X3 Pro: Semua perkara yang anda perlu tahu tentangnya

Ini adalah telefon pertama Oppo untuk tahun 2021 dan ia adalah sebuah flagship berspesifikasi tinggi. Saya tertarik dengan kemasan belakangnya yang unik. Rekaan bonggol kamera telefon ini unik, lain daripada solusi telefon-telefon sebelum ini. Berbanding hanya gunakan modul yang tertonjol ke atas, Oppo memanfaatkan lengkungan untuk beri kemasan yang sangat licin.

OPPO katakan mereka mengambil masa yang lama untuk mendapatkan kesan “Perfect Curve” ini. Lebih menarik, ia dihasilkan daripada sekeping kaca yang dilentur menggunakan haba. Sudah tentu kos untuk baikinya tinggi melangit jika bahagian belakang telefon ini retak.

Bahagian muka telefon ini ada paparan melengkung berbingkai nipis 6.7”. Ia gunakan panel AMOLED pada resolusi QHD+ dengan refresh rate setinggi 120Hz. Selain itu, ia mampu capai kecerahan 1300 nit serta menyokong HDR10+. Pada spesifikasi sebegini, paparannya setanding dengan siri Galaxy S21.

Oppo juga katakan yang telefon ini boleh sesuaikan warna yang dipaparkan mengikut orang yang menghidap penyakit rabun warna. Menggunakan ujian Munsell 100 Hue Test, sistem boleh lakukan penyesuaian yang sewajarnya terhadap pengguna.

Atas papan utama, Oppo Find X3 Pro diperkasa SoC Snapdragon 888 bersama-sama RAM 12GB dan storan 256GB. Ia tidak datang dengan slot mikro-SD untuk perluaskan storan.

Di bahagian pengimejan, ia hadir dengan kuadkamera belakang. Dua daripada kameranya, kamera utama dan kamera ultralebar gunakan sensor IMX 766 yang sama dan mereka masing-masing mengandungi resolusi 50MP. Dua lagi kamera terakhir adalah telefoto 13MP dan makro 3MP.

Kamera makro pada Oppo Find X3 Pro bukanlah kamera sebarangan. Saya rasakan ia kamera makro paling praktikal pernah saya gunakan. Dengannya, anda boleh ambil gambar makro setaraf gunakan mikroskop. Walaupun gimik, ia gimik yang lebih baik berbanding Space Zoom daripada Samsung.

Untuk gambar selfie, anda boleh gunakan kamera 32MP.

Menguasakan segala kelengkapan elektronik telefon ini ialah sekeping bateri berkapasiti 4,500mAh. Ia ada pengecasan pantas 65W SuperVOOC 2.0. 10 minit mengecas mampu mengisi 40% tangki baterinya dan ia juga sokong pengecasan wayarles 30W.

Lain-lain ciri menarik pada telefon ini yang saya gemar adalah ia ada speaker stereo dan juga kekalisan air IP68.

Oppo mengumumkan bahawa Find X3 Pro akan mula berada di pasaran pada 30 Mac 2021, dengan harga bermula dari EUR 1,149 (~RM5,647). Tidak pula dinyatakan apakah RAM dan storan yang disertakan. Belum juga ada maklumat jualan di Malaysia.

Untuk perbandingan, Oppo Find X2 Pro dilancarkan di Eropah tahun lepas, berharga EUR 1,199 dan di Malaysia pula berharga RM4,599. Ini adalah varian tertinggi yang dilengkapi RAM 12GB dan storan 512GB. Mungkin kali ini kita boleh melihat Find X3 Pro lebih murah di Malaysia.

Layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.