[Hands-on] Siri Redmi Note 10: Penanda aras telefon midrange 2021

Di Malaysia, Mi dan Redmi miliki perbezaan yang nyata ketara daripada segi spesifikasi. Semua dalam siri Mi miliki spesifikasi kelas flagship manakala yang berada dalam keluarga Redmi senantiasa miliki spesifikasi pertengahan.

Siri Redmi Note 10, jangan keliru dengan Mi Note 10, adalah satu siri baru yang masuki Malaysia pada 15 Mac 2021 dan melihatkan pada harganya, sukar untuk mencari alternatif kepada telefon ini pada harga tersebut. Ada dua varian yang boleh pengguna temui dalam pasaran iaitu:

  • Redmi Note 10 Pro
  • Redmi Note 10

Bila pegang secara berasingan, kedua-dua telefon ini terasa gempal. Note 10 yang lebih kecil miliki panel 6.43” manakala yang lebih besar 6.67”.

Apabila kedua-dua beradik ini duduk bersebelahan, barulah nampak perbezaan saiznya.

Tak banyak perbezaan daripada segi fitur badan telefon ini. Tapi walaupun kedua-dua telefon ini ada jek audio 3.5mm, lubang di Note 10 Pro berada di bahagian atas manakala Note 10 di bahagian bawah. Nak kenal pasti yang mana satu, lihatlah saja apabila ia sedang ber-gaming.

Saya dapati yang bonggol kamera Note 10 Pro lebih tebal. Ia mungkin boleh dijelaskan oleh kamera 108MP yang ada sensor lebih besar, yang perlukan lensa lebih tebal untuk fokuskan cahaya jatuh ke atas sensor pengimejan.

Bila bercakap pasal gaming, ini adalah berita baik buat golongan ini. Kedua-dua varian dilengkapi panel AMOLED dengan refresh rate yang tinggi. Varian yang lebih berkuasa ada panel 120Hz manakala yang satu lagi 90Hz.

Kalau tak gunakan untuk gaming sekalipun, menonton kandungan multimedia melalui mereka tentu sangat memuaskan. Bukan sahaja panel paparan yang cantik, sistem audio stereo juga turut menyumbang.

Hampir mustahil untuk jumpa telefon sekitar RM1,000 yang ada panel AMOLED dengan stereo speaker. Paling hampir pun, Oppo A9 (2020) dan A5 (2020) tapi mereka ada panel LCD malah resolusi HD+ sahaja.

Terjah lebih dalam di bahagian spesifikasi.

Atas papan utama, Redmi Note 10 Pro ada SoC Snapdragon 732G manakala Note 10 ada Snapdragon 667. Untuk perspektif, SoC Note 10 Pro adalah komponen yang sama boleh anda temui pada Poco X3 NFC yang katanya raja kelas pertengahan.

Untuk Snapdragon 678, Note 10 adalah telefon pertama dengan cip tersebut di Malaysia.

Kedua-dua cip adalah berkausa dan masih segar secara relatifnya. Tapi Snapdragon 732G ada kelebihan kerana dibangunkan daripada litografi 8nm. Maka, ia lebih cekap tenaga. Tapi untuk kegunaan harian, Snapdragon 678 pun sudah mencukupi. Mereka masing-masing adalah SoC dengan 8 teras CPU.

Berikut adalah konfigurasi RAM + Storan yang boleh anda dapati untuk siri Redmi Note 10:

  • Redmi Note 10 – 4GB + 64GB / 6GB + 128GB
  • Redmi Note 10 Pro – 6GB + 128GB / 8GB + 128GB

Unit yang menjengah meja editor kami ialah 4GB + 128GB (Redmi Note 10) dan 8GB + 128GB (Redmi Note 10 Pro). Ia mungkin ada kaitan dengan napa yang saya nak ceritakan ini.

Saya cuba jalankan ujian benchmark pada kedua-dua telefon ini. Tapi, Redmi Note 10 Pro  tidak mahu jalankan ujian GeekBench dan 3DMark. Yang berjaya cumalah Antutu. Tak tahulah kenapa tapi peranti Xiaomi dulu anda masalah untuk jalankan ujian benchmark.

Sudahnya, saya cuma ada data Antutu sahaja untuk bandingkan kedua-dua telefon ini.

Note 10 Pro mengatasi skor Antutu Note 10 sebanyak 11.7%. Jadi, ujian sintetik menyatakan yang prestasi antara kedua-dua varian ini tidaklah terlalu ketara.

Kalau nak dibandingkan dengan ROG Phone 5 yang mendahului carta Antutu, memang mereka masih jauh. ROG Phone 5 berada di 733,947.

Siri Redmi Note kali ini adalah yang pertama menerima kamera 108MP yang biasanya ditemui dalam kelas Mi.

Selain kamera utama 108MP, ada 3 lagi kamera belakang yang menjadi pelengkap konfigurasi kuadkamera Note 10 Pro. Ia ada kamera ultralebar 8MP, kamera makro 8MP, dan kamera bokeh 2MP.

Redmi Note 10 ada bilangan kamera yang sama. Cumanya kamera utama digantikan dengan sensor 64MP manakala kamera makro digantikan dengan sensor 5MP.

Untuk selfie, Redmi Note 10 Pro dan Note 10 masing-masing miliki kamera 16MP dan 13MP.

Perkara terakhir yang saya nak kongsikan ialah kapasiti bateri. Kalau ia cukup bagus untuk gaming, ia juga pasti cukup bagus untuk kegunaan harian. Tak kiralah varian mana yang anda pilih, mereka hadir dengan bateri sekurang-kurangnya 5,000mAh.

Pada standard Android, ia adalah angka yang agak tinggi. Untuk mengisi tangka besar itu, Redmi bekalkan blok pengecas 33W bersama-sama dengan kabel USB-C

Kalau dulu orang kata Poco X3 NFC sebagai raja midrange, kali ini saya rasakan siri Redmi Note 10.

Berikut adalah harga siri Redmi Note 10 di Malaysia:

  • Redmi Note 10 (4GB + 64GB) – RM699
  • Redmi Note 10 (6GB + 128GB) – RM799
  • Redmi Note 10 Pro (6GB + 128GB) – RM999
  • Redmi Note 10 Pro (8GB + 128GB) – RM1,099
Poco X3 NFC pun boleh tergugat dengan siri Redmi Note 10

Untuk harga serendah RM699, anda dapat:

  1. Skrin AMOLED
  2. Refresh rate tinggi
  3. Speaker stereo
  4. Bateri besar dengan pengecasan pantas
  5. Jek audio 3.5mm
  6. IR Blaster

Kalau nak cari telefon midrange, ini adalah spesifikasi terbaik yang boleh anda dapati setakat ini. Cumanya, saya kurang gemar dengan sistem operasi MIUI yang sarat dengan bloatware dan iklan.