Realme Malaysia umum ketibaan Realme 8 Pro dan pembukaan Muzium 108MP

Realme Malaysia akhirnya akan membawakan telefon pintar kelas pertengahan terbaru mereka, Realme 8 Pro. Model ini telah dilancarkan di India bulan lepas dan datang dalam dua jenis, Realme 8 dan Realme 8 Pro.

Bagaimanapun, pengumuman dari Realme Malaysia hari ini hanya menyebut tentang Realme 8 Pro. Mungkin mereka akan melancarkan Realme 8 pada waktu lain. Ini dilihat sebagai cara yang sering digunakan Realme kini, menjadikan jadual di Malaysia padat dengan pelancaran produk baru mereka hampir setiap minggu.

Pelancaran Realme 8 Pro ini akan diadakan secara dalam talian, menerusi Facebook Realme Malaysia. Ia akan diadakan pada hari Khamis depan, 22 April 2021 pukul 12 tengah hari.

Muzieum Realme 108MP

Selain itu, Realme Malaysia juga mengumumkan bahawa mereka akan membuka sebuah muzium yang pertama kali ada seumpamanya di dunia. Ia dipanggil sebagai 108MP Live Museum, terletak di Realme Design Studio di Sungai Penchala.

Muzium ini akan memperlihatkan hasil kerja 5 jurugambar tempatan, yang mengambil gambar dengan resolusi 108MP, secara maya dan sebenar. Pengunjung muzium akan dapat menyaksikan hasil ketajaman gambar dengan resolusi tertinggi terdapat di telefon pintar ini.

Jika berminat mengunjungi muzium ini, anda boleh mendaftar minat di sini. Maklumat lanjut mengenai muzium ini akan diumumkan menerusi Facebook Realme Malaysia.

Spesifikasi Realme 8 Pro

Secara kasar, perkakas di Realme 8 Pro hanya ada sedikit perubahan berbanding Realme 7 Pro. Ini kerana ia masih menggunakan pemproses Snapdragon 720G, bersama RAM LPDDR4x sehingga 8GB dan storan dalaman UFS 2.1 128GB. Untuk makluman, Realme 6 Pro dahulu juga menggunakan cip Snapdragon 720G.

Paparannya juga hampir sama, berukuran 6.4-inci dari jenis Super AMOLED HD Penuh, serta kadar penyegaran 60Hz. Tetapi Realme 8 pro menekankan bahawa ia memiliki kadar sentuhan 180Hz dan tahap kecerahan setinggi 1000 nits. Mungkin ini adalah pembaharuan dari model lama.

Bateri juga masih sama, berkapasiti 4,500mAh tetapi kuasa pengecasnya dilihat turun taraf. Di Realme 7 Pro, ia dilengkapi pengecas SuperDart 65W tetapi untuk Realme 8 Pro, ia menyokong pengecasan pantas SuperDart 50W. Tetapi pengecas 65W diberikan di dalam kotak.

Kamera adalah fokus utama di Realme 8 Pro kerana ia menggunakan kamera utama 108MP F1.88, dari sensor Samsung HM2. Dari resolusi tinggi ini, Realme mengatakan ia boleh mengambil gambar dengan zum ultra 3x, menyerupai kualiti zum optikal 3x.

Kamera lain yang terdapat di belakang ialah kamera ultralebar 8MP F2.25, kamera makro 2MP F2.4 dan kamera hitam putih 2MP F2.4. Kamera hadapannya 16MP F2.45 terletak di dalam lubang di atas skrin.

Satu perkara paling besar boleh dikata turun taraf di Realme 8 Pro ialah tiada lagi speaker stereo. Ia kini dilengkapi speaker mono di bawah telefon. Pengimbas capjari masih kekal ada di dalam skrin.

Di India, Realme 8 Pro hadir dalam tiga pilihan warna: biru, hitam dan kuning. Warna kuning agak unik kerana ia memiliki kilauan dalam gelap (glow in the dark) di bahagian kamera dan garisan.

Tahun lepas, Realme 7 Pro dilancarkan pada harga RM1,499 bersama RAM 8GB dan storan 128GB. Melihatkan peningkatan yang sedikit di Realme 8 Pro, ia pastinya dilancar pada harga yang sama atau lebih murah.

Tetapi harga ini dilihat tidak dapat menyaingi Redmi Note 10 Pro dengan spesifikasi lebih berkuasa. Apakah tarikan yang bakal dibawakan oleh Realme Malaysia? Nantikan laporan kami semasa pelancarannya nanti.