AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) hari ini tampil memberi kenyataan rasmi bahawa mereka telah menyelesaikan lebih 99% permintaan bayaran balik tunai akibat pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu. Secara keseluruhan, AirAsia menerima permintaan untuk bayaran balik sebanyak USD1.8 bilion daripada para tetamu sejak 2020.
Bakinya, hanya tinggal sebanyak 0.8% atau USD14.66 juta masih dalam proses pembayaran balik. AirAsia menjangkakan ianya akan selesai dalam beberapa bulan sahaja lagi. AirAsia yakin ia boleh dilangsaikan segera melihatkan pembukaan semula sempadan banyak negara yang membolehkan perkhidmatan penerbangan AirAsia dipertingkatkan.
Majoriti pelanggan yang membuat tempahan penerbangan sebelum pandemik COVID-19 melanda, telah memilih pulangan bayaran ke akaun kredit yang telah diproses serta merta. Kredit tersebut sah digunakan sehingga 2 tahun dari tarikh ianya dikeluarkan.
Tidak melibatkan AirAsia X
Bagaimanapun, jumlah bayaran balik USD1.8 bilion ini tidak melibatkan AirAsia X yang terbang lebih jauh diluar Asia Tenggara. Tidak diketahui sebanyak manakah situasi bayaran balik tunai daripada AirAsia X telah diterima pelanggan.
AirAsia baru-baru ini melancarkan pelan SUPER+ yang menyediakan penerbangan tanpa had domestik dan di Asia Tenggara. Pelan SUPER+ juga memberikan penghantaran makanan AirAsia Food tanpa had, serta insuran perlindungan COVID-19 sebelum penerbangan, pada harga RM639 untuk kegunaan selama setahun.
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited berkata: “Sebagai salah sebuah syarikat penerbangan terbesar di dunia yang membawa hampir 100 juta penumpang setahun sebelum Covid, kami menerima jumlah pertanyaan yang amat tinggi dengan purata kira-kira 200,000 setiap hari tema semasa tempoh puncak. Kami telah berhubung dengan lebih lima juta tetamu sejak wabak Covid bermula dan menyelesaikan sebahagian besar permintaan mereka berkaitan penerbangan yang dibatalkan dengan memberikan kembalian dalam bentuk akaun kredit, bayaran balik tunai ataupun penukaran penerbangan.
“Keupayaan menangani jumlah permintaan yang teramat tinggi ini dengan sendirinya merupakan suatu pencapaian luar biasa bagi kami. Secara keseluruhannya bagi semua syarikat penerbangan bawah AAAGL, kami setakat ini telah memberikan kembalian kepada lebih tiga juta tempahan tiket sama ada dalam bentuk bayaran balik tunai ataupun akaun kredit. Secara keseluruhan kami menerima permintaan untuk bayaran balik sebanyak AS$1.80 bilion daripada para tetamu sejak 2020.
“Bagi permintaan bayaran balik tunai, lebih 99% daripadanya telah berjaya diselesaikan dengan hanya AS$14.66 juta atau 0.8% masih dalam proses pembayaran dan ianya dijagka selesai dalam beberapa bulan sahaja lagi. Dengan pembukaan semula banyak negara yang membolehkan kami mempertingkatkan perkhidmatan penerbangandi semua pasaran utama, kami akan berupaya mempercepatkan proses pembayaran balik yang berbaki ini dengan secepat mungkin. Kami akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan tetamu kami sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai status bayaran balik mereka melalui e-mel, dan mereka juga boleh menyemak status tersebut pada bila-bila masa melalui chatbot berasaskan AI (Artificial Intelligence) iaitu AVA (Allstar Maya AirAsia) yang mempunyai kemampuan untuk menguruskan pertanyaan tetamu dalam pelbagai bahasa.
“Sementara itu, sebahagian besar tetamu kami merentasi seluruh Kumpulan telah memilih akaun kredit yang diproses serta-merta dan sah sehingga dua tahun untuk tempahan dari ianya dikeluarkan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada berjuta-juta tetamu yang bersedia menerima bayaran balik mereka dalam bentuk akaun kredit yang merupakan cara terbaik untuk membantu menyokong pemulihan kami.
“Dengan penyambungan semula penerbangan domestik dan pembukaan semula sempadan di kebanyakan pasaran utama kami, kami amat berbesar hati bahawa 88% daripada akaun kredit yang kami keluarkan telah digunakan, menandakan keinginan dan keyakinan yang kukuh terhadap perjalanan udara dalam kalangan orang ramai.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada semua tetamu atas kesabaran mereka, dan berharap untuk mengalu-alukan mereka semua kembali dalam penerbangan AirAsia selaras komitmen teguh kami untuk menyediakan perkhidmatan perjalanan udara terbaik yang mudah diakses, berpatutan dan inklusif di rantau ini.”
[Sumber: AirAsia]
Bacaan Berkaitan
- AirAsia Super+: Pelan tanpa had penerbangan domestik dan Asia Tenggara serta penghantaran makanan
- Pas AirAsia ASEAN Unlimited dilanjutkan sehingga Jun 2022
- AirAsia lancar pas Asean Unlimited, terbang tanpa had sehingga Mac 2022 hanya RM599
- Pas AirAsia ASEAN Unlimited berbaloikah? Ini perkara anda wajib tahu sebelum membeli
- Terbang tanpa had dalam Malaysia dengan Pas Tanpa Had AirAsia Cuti-Cuti Malaysia
- Bayar RM499 Dan Terbang Tanpa Had Dengan Pas Air Asia Unlimited