Sedang persoalan bilakah pengkomersialan 5G besar-besaran masih belum terjawab disebab pemain-pemain telco utama masih belum menandatangani apa-apa perjanjian dengan Digital Nasional Berhad (DNB), cakupan servis 5G dilaporkan semakin meluas daripada masa ke masa. CEO YTL Communications, Wing K. Lee mengumumkan yang 90% daripada kawasan berpenduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Cyberjaya ataupun 30% kawasan berpenduduk di Malaysia telahpun diselaputi isyarat 5G.
Dalam program Notepad with Ibrahim Sani, Wing mengatakan yang banyak mitos-mitos disebarkan oleh pihak tidak bertanggung-jawab. Berkenaan dengan cakupan yang terhad, ia memang benar sehingga Disember 2021, tapi cakupannya telah bertumbuh pesat kerana YTL sendiri berkongsikan infrastruktur menara pemancar sedia ada milik mereka untuk DNB lakukan peluasan cakupan.
Selain di Lembah Klang, cakupan 5G kini tersedia untuk sebilangan pengguna di Johor Bahru, Selangor, Perak, dan tak lama lagi ke Pulau Pinang. Jangan dilupakan yang 5G sudahpun ada baru-baru ini di Kelantan.
CEO YTL itu berkongsikan, dalam masa 13 bulan, DNB telah membangunkan lebih 1,000 menara 5G untuk memungkinkan cakupan servis 5G hari ini. Menurutnya, bahagian yang sukar telah berjaya diselesaikan dan langkah seterusnya adalah untuk mengulanginya untuk setiap negeri di Malaysia. Sebagai peringatan, Pelan Jaringan Nasional mensasarkan cakupan 40% cakupan 5G di kawasan berpenduduk sebelum 2022 tamat dan 80% sebelum 2024 tamat.
Ia adalah sasaran yang lebih tinggi berbanding era 3G dan 4G.
Menjawab kritikan tentang Malaysia ketinggalan dalam perlumbaan 5G. Beliau mengakuinya kerana kita bermula agak lewat, dalam bulan Mac 2021 lalu. Namun, kita maju dengan pantas dan tidak mustahil akan memintas yang lain tak lama lagi.
Berkaitan dengan pengalaman servis 5G yang dinikmati pengguna YES 5G masa ini. Wing mengumumkan yang pelanggan mereka menikmat purata 577Mbps kelajuan muat turun dengan kelajuan puncak mencapai 1.5Gbps. 577Mbps adalah satu angka yang tinggi kerana ia sudahpun mengalahkan kelajuan servis jalur lebar di kebanyakkan kediaman, cumanya 5G lebih baik kerana ia wayarles.
Penemuramah bertanyakan tentang bagaimana YTL Communication menjana pendapatan kerana mereka ialah sebuah syarikat swasta yang menjadi pelanggan kepada Rangkaian Penyedia Tunggal (SWN). CEO-nya menjawab yang mereka mencatatkan pertumbuhan positif. Salah satu tunjang utama kepada kejayaan ini adalah Yes 5G adalah satu-satunya telco yang beroperasi menggunakan teknologi IP sepenuhnya di negara ini.
Hal itu berkamakna yang Yes 5G tidak mengoperasikan sebarang teknologi legasi 1G, 2G, dan 3G. Untuk makluman, Yes 4G LTE dilancarkan dalam tahun 2016 dan mereka adalah yang pertama memperkenalkan Voice over LTE (VoLTE) untuk negara ini sedang telco lain hanya memperkenalkannya dalam tahun 2021 lalu.
Masih tentang teknologi legasi, Wing mengatakan yang mereka melabur dalam teknologi yang tepat dan mereka mahir dengan selok belok teknologi tersebut. Dengan pengoptimumkan yang dilakukan ke atas teknologi itu, mereka boleh menurunkan harga per unit servis mereka sedang telco lain terbeban dengan teknologi legasi.
Menurutnya lagi, perniagaan telco sangat sensitif dengan skala dan skala itu memberi kesan kepada kos per unit. Dengan kakitangan kurang daripada 1,000 dan beroperasi menggunakan teknologi IP sepenuhnya, mereka boleh melakukan penskalaan lebih cekap berbanding telco lain. Penjimatan itu akan dilsalurkan kepada pengguna.
Satu persoalan yang diutarakan pengguna secara kerap adalah kenapa iPhone masih tidak menyokong rangkain 5G? Wing berkongsikan yang ia ada kaitan dengan model perniagaan Apple. Telco yang ingin mengaktifkan 5G pada iPhone perlu memeterai perjanjian dengan Apple dan ia masih belum berlaku antara Yes 5G dan Apple atas sebab-sebab komersial dan bukannya teknikal.
Buat masa ini, Yes 5G dikatakan menyediakan pelan 5G + 4G termurah di dunia melalui Yes Infinite. Bermula RM58/bulan, pengguna menerima kuota Internet tanpa had tanpa sebarang FUP beserta kuota panggilan tanpa had.
Hotspot, walaupun terhad kepada 10GB/bulan, had itu boleh diangkat bila anda dapatkan pas tambahan ataupun langgan pelan Infinite yang lebih mahal.
Sumber: SoyaCincau