Selamat datang ke Anugerah SoyaCincau 2023 untuk kategori Laptop & Gajet. Dalam artikel ini saya akan bentangkan kepada anda
- Laptop Paling Berbaloi 2023
- Laptop Terbaik 2023
- Gajet Gaming Terbaik 2023
- Jam Tangan Pintar Terbaik 2023
- Headfon terbaik 2023
Pememenang-pemenang Anugerah SoyaCincau 2023 ini telah dipilih oleh pasukan pencipta kandungan SoyaCincau.com dan SoyaCincau BM. Antara yang terlibat ialah Alexander Wong, Najib Hamid, Raymond Saw, Jonathan Lee, Hanif Azrai, Putra Aziz, Sharil Abdul Rahman, Chief Chapree, dan Sudarshan Duke bersama-sama penglibatan daripada sayap sosial kami.
1. Laptop Paling Berbaloi 2023
Anugerah Emas: Acer Swift Go 14
Acer Swift Go 14 kami dapati sesuai untuk penggunaan kasual harian terutamanya digital nomad. Casisnya diperbuat daripada materi aluminium dan cuma seberat 1.25kg lantas berikannya berikan sifat mobiliti dan keteguhan yang baik. Port I/O yang ditawarkan juga lengkap seperti USB-A, USB-C dan HDMI supaya anda boleh minimumkan dongle yang perlu dibawa.
Komponen yang ia tiada cumalah pembaca kad SD. Atas papan utama, Swift Go 14 ditunjangi AMD Ryzen 5 7530U 10 teras bersama-sama RAM LPDDR4X seluas 16GB serta storan 512GB PCIe Gen4. Kombinasi ini kami rasakan cukup untuk penuhi keperluan anda sehari-hari tanpa perlu fikirkan sama ada untuk naik taraf RAM ataupu storan kerana laptop ini tidak mempunyai kemudahan itu. Dengan bateri 3 sel berjumlah 50Wh, didapati yang laptop ini boleh berikan khidmat sekitar 5 jam lamanya dan ia sangat bergantung kepada cara penggunaan.Anda boleh baca review penuh berbahasa Inggeris tulisan Raymond Saw di pautan ini. Laman rasmi produk di sini.
Anugerah Perak: Asus Vivobook 15X
Vivobook 15X daripada Asus sertakan banyak ciri menarik pada harga bermula RM3,099. Anda dapat laptop berbadan besi dengan skrin sebesar 15.6”, panel IPS FHD yang boleh dibuka rata atas meja. Pilih CPU yang disediakan ialah Core-i5-1335U dan Ryzen 7 7730U, RAM 8GB dan storan sehingga 1TB.
Vivobook 15X juga berikan pilihan I/O yang mencukupi seperti port HDMI, jek audio 3.5mm, USB-C, dan USB-A. Kami sarankan laptop ini untuk pelajar universiti yang ingin buat pembentengan slide, menulis tesis, buat tugasan di atas skrin besar.
Anugerah Gangsa: Acer Aspire Vero 14
Satu lagi laptop Acer menerima anugerah. Acer Vero 14 ditunjangi Intel Core i7-1355U, RAM 16GB, dan SSD 512GB pada harga bermula RM2,599. Untuk kepraktikalan, Acer menyediakan port HDMI, USB-A, USB-C dengan Thunderbolt, dan jek audio 3.5mm. Vero 14 dilengkapi panel paparan 14” FHD IPS, sama seperti Swift Go 14 tadi.
Satu perkara yang unik tentang laptop ini adalah ia mesra alam, dihasilan menggunakan bahan kitar semula. 40% badannya diperbuat daripada plastik kitar semula dan katanya Acer berjaya turunkan 30% jejak karbon sewaktu penghasilkan casis laptop. Tambah menarik, badannya tiada sebarang cat untuk berikan rupa lebih unik.
2. Laptop terbaik 2023
Anugerah Emas: Asus Zenbook Pro 14 OLED
Anda ada RM10,999 untuk dilaburkan? Kami cadangkan Zenbook Pro 14 OLED. Daripada rupa paras, ia nampak macam laptop klasik tanpa ada apa-apa yang menarik manakala beratnya cuma 1.6kg. Namun, perspektif anda bakal berubah bila laptop ini dibuka. Seperti namanya, laptop ini dilengkapi panel paparan OLED peka sentuhan pada resolusi 2880 x 1880 (16:10) dan ia peka sentuhan.
Bahagian dalam lebih mengagumkan kerana ia ada cip Intel generasi ke-13 Intel Core i9-13900H yang dipadankan bersama-sama RAM DDR5 32GB serta SSD PCIe 4.0 seluas 1TB. Tak cukup dengan itu, GPU NVIDIA GeForce RTX 4070 hadir untuk pikul tugasan grafik berat sekalipun. Penawaran port juga mewah kerana anda dapat USB-C dengan Thunderbolt 4, USB-A, pembaca kad SD, port HDMI, dan jek audio 3.5mm dalam badan laptop 14”. Lagi mengagumkan adalah Asus mampu muatkan bateri 76 Wh dalamnya yang dirasakan bolehlah berikan waktu guna yang mencukupi sekiranya dalam keadaan memerlukan. Dengan mobiliti, spesifikasi, dan potensi kepraktikalannya untuk pencipta kandungan yang perlukan laptop berkuasa tinggi, kami berikan Asus Zenbook Pro 14 OLED lencana Laptop Terbaik 2023. Laman rasmi produk di sini.
Anugerah Perak: Acer Swift X 14
Acer untuk tahun 2023 telah menambah baik siri Swift X mereka. Ia kini lebih versatil dan boleh diguna untuk buat kerja dan bermain. Swift X kini ada skrin OLED dengan nisbah yang 16:10. Bukan sahaja ruang paparan yang lebih luas bermakna halaman kerja dokumen Excel anda akan lebih lapang, skrin OLED cemerlang untuk anda tonton kandungan multimedia serta gaming.
Bercakap tentang gaming, laptop ini dilengkapi Intel Core i7-13700H dengan RAM LPDDR5 seluas 32GB bersama-sama GPU NVIDIA GeForce RTX 4050 dalam badan seberat 1.55kg sahaja. Laptop ini sangat kompeten dan tidaklah jauh ketinggalan di belakang Zenbook Pro 14 OLED tadi dan pastinya harga lebih rendah. Anda boleh baca ulasan penuh Acer Swift X 14 di sini. Laman rasmi produk di sini.
Anugerah Gangsa: MacBook Air 15
MacBook Air tidak syak lagi antara laptop terkenal dalam kalangan pencipta kandungan. Namun, masalah dengan laptop ini adalah skrinnya yang terlalu sempit untuk keselesaan dan ramai pengguna terpaksa beradaptasi dengan skrin sekunder lantas mengorbankan ciri mobiliti MacBook Air. Untuk tahun 2023, Apple telah menawarkan MacBook Air dalam varian yang lebih besar iaitu 15.3” lantas berikan pengguna 31” lebih ruang kerja dan naik taraf ini adalah signifikan.
Dibina di atas asas cip Apple M1 yang terbukti cemerlang sebelum ini, Apple kenakan pula MacBook Air 15 dengan cip M2 yang katanya 18% lebih baik daipada sudut CPU dan 35% lebih baik pada sudut GPU. Bagusnya barisan laptop Apple sekarang adalah cip pemprosesnya adalah berasaskan senibina ARM dan hayat baterinya nyata lebih panjang dariapda laptop berasaskan AMD ataupun Intel. Kalau anda perlukan laptop dengan hayat bateri lebih panjang, inilah jawapannya. Anda boleh baca lebih lanjut tentang MacBook Air 15” di sini. Laman rasmi produk di sini.
3. Gajet Gaming Terbaik 2023
Anugerah Emas: Asus ROG Ally
ROG Ally ini ramai orang anggapnya sebagai jenaka April’s Fool kerana Asus berkongsikannya pada 1 April 2023 yang lalu tidak disangka-sangka ia adalah satu produk yang sebenar yang boleh anda beli sekarang. ROG Ally adalah konsol permainan tangan ala Nintendo Switch, Steam Deck, dan yang seangkatan dengannya. ROG Ally adalah gajet yang membawakan kategori konsol permainan tangan ke arus perdana kerana ia menjalankan sistem operasi Windows, lantas membuatkannya lebih serba boleh berbanding Steam Deck yang jalankan sistem operasi SteamOS.
Anda boleh bermian menerusi skrin 7” FHD IPS 1080p 120Hz padanya dan ia peka sentuhan. Walaupun ia lebih kearah gaming, ROG Ally juga boleh pacu produktiviti apabila anda tambatkannya pada skrin sekunder dan sambungkan dengan set papan kekunci dan tetikus. Lagi menyumbang kepada keversatilan ROG Ally adalah kemampuannya disambung pada ROG XG Mobile iaitu slot eGPU untuk ia jalankan permainan yang lebih berat bagi menyokong cip pemproses AMD Ryzen Z1 Extreme. Bersama-sama dengan cip tersebut, Asus mengenakannya dengan RAM LPDDR5 16GB beserta storan 512GB. Anda boleh baca lebih lanjut tentang Asus ROG Ally di sini. Laman rasmi produk di sini.
Anugerah Perak: Samsung Odyssey OLED G9
Ini adalah monitor gaming terbesar Samsung berukuran 46” dan ia melengkung. Dikatakan yang Odyssey OLED G9 ialah monitor OLED DQHD pertama dunia. Dengan nisbah paparan 32:9, monitor ini mempunyai resolusi 5120 x 1440. Ia seperti menggabungkan dua monitor QHD 16:9 sebelah menyebelah tapi pada Odyssey OLED G9, tiada bingkai percantuman boleh anda temukan.
Samsung Odyssey OLED G9 sesuai dipadankan bersama-sama konsol permainan generasi terbaharu kerana ia ada panel berkadar segar semula sehingga 240Hz sementara PlayStation 5 dan Xbox Series X mampu keluarkan isyarat 4K sehingga 120Hz. Selain digunakakn untuk gaming, anda juga boleh layan kandungan multimedia lain menerusinya. Odyssey OLED G9 menjalankan sistem operasi Tizen Smart TV OS, sistem operasi sama yang digunakan TV pintar Samsung yang lan. Hal ini bermakna, anda boleh pasang pelbagai aplikasi penstriman padanya. Anda boleh baca lebih lanjut tentang Samsung Odyseey OLED G9 di sini. Laman rasmi produk di sini.
Anugerah Gangsa: Lenovo Legion Go
Lenovo Legion Go adalah satu lagi konsol permainan tangan yang dilancarkan tak lama selepas Asus ROG Ally. Namun, ia membawakan satu inovasi menarik ke dalam kategori ini. Kedua-dua pad kawalan boleh ditanggalan seperti yang boleh dilakukan Nintendo Switch. Namun, unit sebelah kanannya boleh berfungsi sebagai tetikus apabila digabungkan dengan satu lagi aksesori tambahan.
Lenovo Legion Go gunakan cip pemproses yang sama dengan ROG Ally iaitu AMD Ryzen Z1 Extreme. Makanya anda boleh jangkakan prestasi hampir serupa antara mereka. Legion Go ada kelebihan pada segi ia dilengkapi paparan lebih besar pada 8.8” QHD+ dengan kadar segar semula 144Hz (vs. 7” FHD 120Hz Rog Ally). Baterinya juga lebih besar pada 49.2 Whr (vs. 40Whr ROG Ally). Anda boleh baca lebih lanjut tentang Lenovo Legion Go di sini. Laman rasmi produk di sini.
4. Jam tangan pintar terbaik 2023
Gold Award: Samsung Galaxy Watch 6 Classic
Pada Galaxy Watch 6 Classic, Samsung telah menghidupkan kembali bingkai berputar yang mereka tinggalkan lama dulu. Bingkai berputar menjadikan navigasi menerusi sistem operasi jadi lebih intuitif dan tidak menghalang pemandangan. Bercerita tentang sistem operasi, ini adalah jam tangan pintar pertama yang menjalankan sistem operasi Wear OS 4 dan ia bersadur One UI 5 Watch.
Seterusnya, Naik taraf berbanding siri Watch 5 juga boleh anda lihat pada panel paparan. Ia kini berkecerahan sehingga 2,000 nits, separas Apple Watch Series 9. Atas papan utama, jam tangan ini diperkasa cip Exynos W930 yang baharu, katanya 15% lebih pantas berbanding sebelum ini. Hayat bateri juga dikatakan diperbaik. Satu isian penuh bateri boleh berikan waktu guna selama sehari setengah dengan pengecasan 30 minit boleh isi sehingga 45% kapasiti bateri. Ramai pengulas memuji pembaharuan yang dibawakan Samsung pada siri Watch 6 iaitu pemilik tak perlu format jam tangan jika ingin menukar telefon. Anda boleh baca lebih lanjut tentang Galaxy Watch 6 Classic di sini. Laman rasmi produk di sini.
Anugerah Perak: Apple Watch Series 9
Tidak seperti Galaxy Watch yang boleh digunakan apa sahaja jenama telefon Android, Apple Watch hanya boleh diaktifkan dengan iPhone. Jadi pilihan anda agak terhad. Kali ini, Apple hasilkan Watch Series 9 dengan penekanan diberikan alam sekitar. Mereka mengumukan bahan tali jam tangan FineWoven yang katanya diperbuat dairpada 68% bahan kitar semula.
Watch Series 9 adalah produk Apple pertama yang mencapai status Carbon Neutral. Kemudian, mereka mengetengahkan ciri navigasi baharu iaitu Double Tap. Ia bolehkan anda berinteraksi dengan jam tangan tanpa perlu menyentuh muka jam. Ciri ini sebenarnya telah ada dalam halaman Accessibility tetapi dijadikan Apple sebagai ciri utama pada Series 9. Hayat Bateri Watch Series 9 diiklankan pada 18 jam. Anda boleh baca lebih lanjut tentang Apple Watch Series 9 di sini. Laman rasmi produk di sini.
Anugerah Gangsa: Huawei Watch GT 4
Huawei Watch GT 4 mempunyai rekaan yang cantik. Anda ada 4 pilihan tali jam boleh dikenakan padanya iaitu tali besi, kain, kulit, dan juga getah. Huawei Watch GT 4 hadir dalam 2 saiz iaitu 46mm dan 41mm. Variasi lebih besar ada skrin AMOLED 1.43” manakala varian lebih kecil ada saiz skrin 1.32”. Hayat baterinya agak panjang iaitu sehingga 14 hari lamanya untuk variasi 46mm sementara variasi 41mm boleh berkhidmat selama 7 hari lamanya, bergantung kepada pola penggunaan.
Ada banyak ciri penjejak kesihatan boleh anda manfaatkan pada jam tangan ini seperti pemantau denyutan nadi, kepekatan oksigen dalam darah, penjejakan kitaran tidur dan tahap tekanan. Wanita pula boleh gunakan menstrual tracker untuk kemudahan. Lebih 100 aktiviti boleh dijejaki jam tangan ini dan kalau anda beraktiviti luar, sensor GPS boleh rakamkan maklumat koordinat dengan mudahnya.
5. Headfon terbaik 2023
Gold Award: Sony WF-1000XM5
WF-1000XM5 meneruskan legasi fon putik terbaik Sony yang boleh anda dapatkan masa ini. Berbenading generasi dahulu, ia 25% lebih kecil dan 20% lebih ringan. Yang jadikannya terbaik adalah teknologi penyaring hingar yang ditambah baik menerusi pemproses QN2e yang katanya mampu membuang hingar berfrekuensi tinggi dengan lebih cekap.
Menghasilkan audio menerusi sepasang pemacu audio dinamik bersaiz 8.4mm, fon putik ini menyokong LDAC, Bluetooth 5.3, dan DSEE Extreme. Hayat baterinya diiklankan selama 8 jam dengan ANC terpasang dan pengecasan selama 3 minit benarkan untuk anda gunanya selama sejam. Anda boleh baca lebih lanjut tentang Sony WF-1000XM5 di sini. Laman rasmi produk di sini.
Silver Award: Technics EAH-AZ80
Technics EAH-AZ80 adalah satu lagi fon putik jenama legenda yang bersaiz dengan WF-1000XM5. Malah, harga pelancarannya lebih mahal berbanding fon putik Sony sebanyak RM200. Kelebihannya adalah, ia dilengkapi pemacu audio 10mm, 20% lebih besar berbanding pemacu audio 1000XM5 tadi. Penulis kami, Sharil Abdul Rahman yang melakukan ulasan tentang EAH-AZ80 mengatakan yang ia memiliki binaan premium termasuklah bekas penyimpanannya bersalut besi.
Ciri premium lain yan gboleh anda temukan adalah seperti Bluetooth 5.3, sokongan LDAC, AAC, dan penyarng hingar aktif. Hayat baterinya tidak sebaik 1000XM5 tapi tidak teruk. Dengan satu bateri penuh, ia boleh berkhidmatan lebih daripada 6 jam berdasarkan percubaan kami. Anda boleh baca ulasan Sharil Abdul Rahman tentang Technics EAH-AZ80 di sini. Laman rasmi produk di sini.
Bronze Award: Nothing Ear (2)
Nothing Ear (2) adalah fon putik paling ranggi boleh anda dapatkan pada harga bawah RM600. Walaupun rekaannya hampir mirip kepada Ear (1) tahun sudah, ia masih cantik pada mata ramai pengguna termasuklah kami sedang pengeluar lain masih terikut-ikut rekaan Apple Airpods. Pemacu audionya adalah yang terbesar dalam kalangan tiga yang disenaraikan ini pada 11.6mm ataupun 16% lebih besar berbanding Technics EAH-AZ80.
Nothing Ear (2) tidak menyokong kodek LDAC seperti EAH-AZ80 dan XM1000X. Namun ia masih mempunyai lencana Hi-Res melalui kodek LHDC. Dengan Nothing Ear (2) anda beroleh fon putik dengan badan lutsinar termasuklah dengan bekan penyimpanannya. Mereka telah menambah baik sistem penyaring hingar dengan melakukan penyelarasan pada kedudukan mikrofon supaya suara anda menjadi lebih jelas untuk didengari pihak satu lagi. Satu bateri penuh memberikan waktu guna lebih 6 jam dengan sistem ANC terpasang. Anda boleh baca lebih lanjut tentang Nothing Ear (2) di sini. Laman rasmi produk di sini.
Bacaan berkaitan
Anugerah SoyaCincau 2023: Telefon Pintar Terbaik Tahun Ini
Anugerah SoyaCincau 2023: Tablet Terbaik Tahun Ini
Anugerah SoyaCincau 2023: Laptop & Gajet terbaik tahun ini
Anugerah SoyaCincau 2023: Telco dan Pelan Terbaik Tahun Ini
Anugerah SoyaCincau 2023: Kenderaan elektrik (EV) terbaik tahun ini