Telefon kompak dan kecil sekarang jarang dillihat di pasaran. Kebiasaannya semua berukuran 6.5-inci dan ke atas. Jadi ada yang bertanya, telefon apa yang kecil ada skrin bawah 6.4-inci sekarang. Jika anda tidak kisah berkenaan harga, terdapat beberapa telefon flagship kompak yang dilancarkan sekitar tahun ini dan tahun lepas.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan telefon kecil ini menghadkan pengguna untuk melihat kandungan di paparan. Tapi setidaknya ia lebih senang untuk dibawa ke mana-mana serta mudah untuk dikendali satu tangan. Malah, telefon kecil ini juga ada peminatnya tersendiri.
Oleh itu, di sini saya nak kongsikan senarai telefon dengan skrin bawah 6.4-inci yang anda boleh dapatkan di Malaysia sekarang.
1. Xiaomi 14
Pertama dalam senarai adalah Xiaomi 14. Ia merupakan telefon flagship kompak yang baru sahaja Xiaomi lancar pada bulan Mac lepas. Skrinnya berukuran 6.36-inci menggunakan panel paparan AMOLED berkadar penyegaran adaptif 1-120Hz, serta ada tahap kecerahan paling tinggi mencapai 3,000 nits.
Walaupun kompak, ia ada prestasi tinggi daripada cip Snapdragon 8 Gen 3. Kapasiti bateri yang ada agak kecil 4,610mAh, tapi ia sokong pengecasan paling pantas dalam senarai pada 90W serta ada pengecasan wayarles 50W dengan sokongan pengecasan wayarles terbalik.
Selain itu, sistem kameranya juga hebat ditala Leica yang terdiri daripada tiga kamera 50MP iaitu kamera utama, kamera ultralebar dan kamera telefoto berkeupayaan mengezum 3.2x. Tapi, kekurangannya mungkin ada yang tak sukakan HyperOS yang seakan MIUI.
Xiaomi 14 ini anda boleh pilih kalau nak prestasi tertinggi dalam senarai dan kamera ditala Leica.
Anda boleh dapatkan Xiaomi 14 pada harga RM4,399 di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk Xiaomi 14. Anda juga boleh baca ulasan penuh kami mengenai Xiaomi 14.
2. Sony Xperia 10 VI
Kedua, paling baru dilancarkan adalah Sony Xperia 10 VI. Telefon ini paling murah dalam senarai sebab tak macam telefon lain, prestasinya hanya kelas pertengahan guna cip Snapdragon 6 Gen 1. Skrinnya pun 60Hz guna pakai panel paparan OLED berukuran 6.1-inci. Tapi ia unik sedikit sebab ada nisbah skrin tinggi 21:9.
Sistem kameranya pun agak bagus guna sensor Exmos RS 1/2.0” beresolusi 48MP untuk kamera utama dan ada kamera ultralebar 8MP. Tapi kekurangannya tak ada kamera telefoto. Ia juga ada storan kecil 128GB, tapi boleh diperluaskan lagi dengan slot mikroSD. Kalau anda nak telefon kecil dan murah, boleh pertimbangkan Xperia 10 VI ini.
Setakat ini harga rasminya di Malaysia masih belum diketahui, tetapi dilancarkan di pasaran antarabangsa pada harga EUR399 (~RM2,031). Maklumat lebih lanjut anda boleh dapatkan di laman produk Sony Xperia 10 VI.
3. iPhone 15
iPhone 15 juga merupakan salah satu penawaran telefon kompak daripada Apple. Ia ada prestasi tinggi dikuasakan cip flagship A16 Bionic dan sebagai sebuah peranti Apple, sokongan sistem operasi juga yang jauh lebih panjang berbanding telefon Android lain. Namun, ia agak mahal berharga untuk storan kecil 128GB serta panel paparannya juga terhad pada 60Hz dan tak ada fungsi Always on Display.
Selain itu, sistem kameranya pun biasa sahaja, tak ada kamera telefoto dan pengecasan perlahan 20W. Tapi, kelebihannya ia sokong pengecasan wayarles MagSafe 15W, diiktiraf kalis air IP68 dan ada fungsi menarik Dynamic Island untuk paparkan maklumat terus dekat dahi skrin. iPhone 15 ini sesuai untuk anda yang nakkan prestasi tinggi, sokongan OS panjang tapi tak kisahkan skrin 60Hz.
Anda boleh boleh dapatkan iPhone 15 pada harga bermula RM4399 di Lazada dan Shopee.
4. Samsung Galaxy S24
Seterusnya adalah telefon Samsung Galaxy S24. Telefon ini ada paparan 6.2-inci jenis LTPO AMOLED 2X dan kadar penyegaran pantas 120Hz. Panel skrin pula dilitupi kaca teguh Corning Gorilla Glass Victus 2 dan ia ada fungsi Always on Display. Kapasti bateri yang dimuatkan tidaklah besar mana 4,000mAh, dan ia dikuasakan cip Exynos 2400.
Tapi yang menariknya, ia ada fungsi Galaxy AI tawar ciri seperti edit imej dan terjemahan panggilan secara langsung. Malah, ia juga sokong Samsung DeX untuk jadikan telefon sebagai persediaan komputer. Lagi menarik, sistem pengimejannya juga dilengkapi lensa telefoto 10MP tawar keupayaan zum optikal 3x.
Anda boleh pilih Galaxy S24 ini jika anda nak telefon kecil dengan fungsi menarik macam Samsung DeX dan Galaxy AI.
Anda boleh dapatkan Samsung Galaxy S24 pada harga bermula RM4,099 di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lebih lanjut anda boleh layari laman produk Samsung Galaxy S24.
5. Oppo Find N3 Flip
Akhir sekali, satu-satunya telefon lipat dalam senarai iaitu Oppo Find N3 Flip. Ia juga boleh dikira sebagai telefon kompak disebabkan faktor badannya yang boleh dilipat. Senang nak bawa masuk poket. Di luar, ia ada skrin kecil 3.62-inci, manakala di dalam pula ada skrin lebih besar 6.8-inci jenis LTPO AMOLED 120Hz.
Spesifikasi dalamannya juga bertaraf flagship dikuasakan MediaTek Dimensity 9200 dengan kombinasi dengan RAM LPDDR5X dan storan pantas UFS 4.0. Sistem kamera juga tak mengecewakan menggunakan kamera Hasselblad dan ada kamera telefoto 32MP dengan keupayaan zum optikal 2x
Walau bagaimanapun, kekurangannya ia tidak ada kalis air dan pengecasan wayarles. Tapi ada kuasa mengecas pantas SuperVOOC 44W dan kapasiti bateri besar 4,300mAh. Pilih Oppo Find N3 Flip kalau anda nak telefon lipat berprestasi tinggi dengan sistem kamera Hasselblad.
Anda boleh dapatkan Oppo Find N3 Flip pada harga RM4,399 di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman produk Oppo Find N3 Flip.