Sebagai salah satu e-dompet paling popular di Malaysia, TNG eWallet digunakan untuk pelbagai urusan harian, daripada bayar parkir dan tol, membeli barangan runcit, hinggalah memindahkan wang kepada keluarga dan rakan.
Namun, ada juga pengguna yang pernah berdepan situasi akaun digantung secara tiba-tiba. Ada yang risau duit dalam eWallet akan hilang, ada yang keliru kenapa akaun disekat walaupun merasakan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, malah ada yang cuba membuka akaun kedua kerana tidak sabar menunggu, sebelum berdepan masalah yang sama.
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku apabila akaun e-dompet digantung? Adakah ia satu bentuk penalti, dan yang paling penting adakah wang dalam akaun benar-benar selamat?
Penggantungan akaun sebagai langkah keselamatan
Secara umum, penggantungan akaun e-dompet tidak semestinya bermaksud pengguna telah melakukan kesalahan. Menurut TNG eWallet, tindakan ini merupakan protokol keselamatan sementara yang diaktifkan secara automatik apabila sistem mengesan potensi risiko.

Antara situasi yang boleh mencetuskan penggantungan akaun ialah:
- Aktiviti jenayah, termasuk penggunaan dokumen pengenalan yang diubah suai atau dipalsukan
Transaksi mencurigakan, seperti corak pemindahan wang yang luar biasa - Kaitan dengan penipuan atau akaun keldai (mule account), iaitu akaun yang disyaki digunakan untuk aktiviti haram
- Arahan daripada pihak berkuasa atau pengawal selia, bagi tujuan siasatan
Langkah ini biasanya diambil sebagai tindakan pencegahan awal bagi mengelakkan akaun daripada disalahgunakan, walaupun pengguna sebenar mungkin tidak menyedari sebarang isu.
Bagaimana langkah ini digunakan oleh TNG eWallet

Seperti platform kewangan digital lain yang dikawal selia, menurut TNG eWallet, mereka menggunakan pemantauan automatik dan penilaian berasaskan risiko untuk mengenal pasti aktiviti yang berpotensi bermasalah.
Apabila risiko dikesan, akaun boleh digantung sementara bagi membolehkan semakan lanjut dilakukan. Ini bukan tuduhan terhadap pengguna, tetapi satu mekanisme perlindungan untuk memastikan keselamatan akaun dan dana yang terlibat.
Pendekatan ini sejajar dengan amalan industri dan keperluan pengawalseliaan yang menekankan pencegahan awal terhadap penipuan dan penyalahgunaan sistem kewangan.
Wang pengguna kekal selamat semasa akaun digantung

Kebimbangan paling biasa apabila akaun digantung ialah nasib wang dalam eWallet.
Menurut TNG eWallet, apabila akaun digantung, akses ke akaun memang dihadkan sementara, namun wang di dalamnya kekal selamat dan tidak boleh dipindahkan atau dikeluarkan oleh sesiapa, termasuk pihak tidak bertanggungjawab.
Langkah ini memastikan dana pengguna dilindungi sepenuhnya sementara pasukan keselamatan menjalankan semakan yang diperlukan, termasuk pengesahan identiti dan analisis transaksi.

Selepas semakan selesai dan tiada risiko dikesan, akses penuh ke akaun akan dipulihkan seperti biasa.
Buat akaun kedua tak semestinya menyebabkan penggantungan

Terdapat juga tanggapan bahawa membuka akaun TNG eWallet kedua akan menyebabkan akaun digantung secara automatik. Hakikatnya, walaupun kebanyakan penyedia e-dompet mengamalkan polisi satu akaun bagi setiap pengguna, penggantungan biasanya hanya berlaku apabila terdapat tanda-tanda aktiviti berisiko tinggi, seperti:
- Pemalsuan atau pengubahsuaian dokumen pengenalan
- Penyamaran identiti atau penggunaan identiti orang lain
- Percubaan menipu atau menyalahgunakan sistem

Jika akaun kedua diwujudkan secara tidak sengaja atau akibat kekeliruan, ia tidak semestinya membawa kepada penggantungan selagi tiada unsur penipuan atau niat jahat dikesan.
Peranan eKYC dalam keselamatan e-dompet

Bagi memastikan keselamatan ekosistem kewangan digital, akaun e-dompet lazimnya perlu melalui proses eKYC (electronic Know Your Customer). Proses ini biasanya merangkumi:
- Pengesahan secara langsung melalui foto atau video
- Perbandingan dengan dokumen pengenalan rasmi
- Pengesahan bahawa individu yang mendaftar ialah pemilik sah identiti tersebut
Langkah ini bertujuan mencegah peniruan identiti, kecurian identiti dan penciptaan akaun palsu, sekali gus melindungi pengguna serta sistem kewangan secara keseluruhan.
Kenapa semua ini penting?

Dalam era digital hari ini, eWallet sudah berfungsi seperti bank dalam poket. Ramai pengguna menyimpan jumlah wang yang besar untuk kegunaan harian dan transaksi penting, menjadikan aspek keselamatan satu keutamaan.
Walaupun penggantungan akaun sementara dan proses pengesahan mungkin menyusahkan dalam jangka pendek, langkah-langkah ini membantu menghalang penipuan dan aktiviti jenayah lebih awal. Dalam jangka panjang, ia memberi manfaat kepada keselamatan semua pengguna.
Apa yang perlu dilakukan jika akaun digantung?
Jika akaun anda digantung dan anda yakin tidak melakukan sebarang kesalahan, jangan panik. Hubungi khidmat pelanggan TNG eWallet dan ikuti proses pengesahan yang ditetapkan.
Selagi tiada aktiviti mencurigakan dikesan, akaun akan dipulihkan selepas semakan selesai. Untuk maklumat lanjut, pengguna juga boleh merujuk kepada laman soalan lazim FAQ dan pusat keselamatan.






