Huawei hari ini melancarkan telefon pintar terbaru, Huawei Mate 80 Pro. Ia menandakan kemunculan semula siri Mate di Malaysia selepas hampir empat tahun, sejak siri Mate 50 diperkenalkan. Namun, berbeza dengan pasaran China yang turut menawarkan Mate 80 dan Mate 80 Pro Max, hanya model Pro yang dibawa masuk ke Malaysia.
Selain telefon pintar ini, Huawei turut memperkenalkan beberapa peranti lain dalam ekosistem mereka, termasuk FreeBuds Pro 5, Watch Ultimate 2 warna hijau baharu dan FreeClip 2 dalam warna Rose Gold baharu.
Harga dan ketersediaan Huawei Mate 80 Pro

HUAWEI Mate 80 Pro ditawarkan pada harga RM3,999 di Malaysia untuk satu-satunya konfigurasi 16GB+512GB. Pengguna boleh membuat tempahan awal melalui HUAWEI Experience Stores, laman web rasmi Huawei, serta kedai rasmi Huawei di Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.
Pembeli awal juga akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM2,115, yang merangkumi:
- Tablet Huawei MatePad 11.5
- 1 tahun Huawei Care+ (sah untuk satu tuntutan)
- 3 tahun penggantian bateri (sah untuk satu tuntutan)
- 2 tahun pelindung skrin (sah untuk empat tuntutan)
- 1 tahun waranti APAC
Selain itu, pembeli turut boleh menikmati ganjaran AppGallerybernilai sehingga RM1,565, dengan tawaran eksklusif daripada jenama seperti Kiehl’s, Wilson, Salomon, DurianBB, ANTA, dan OGAWA. Bagi yang membeli di HUAWEI Experience Stores terpilih, terdapat juga tawaran Shopee PayLater dengan diskaun 10% untuk pembelian minimum RM600.
Spesifikasi Huawei Mate 80 Pro


Bahagian kamera merupakan tumpuan utama Mate 80 Pro. Ia hadir dengan sistem trikmaera yang terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor besar 1/1.28 inci, kamera telefoto 48MP dengan zum optikal 4x, serta kamera ultralebar 40MP. Telefon ini turut menggunakan sensor True-to-Colour Camera yang direka untuk mengekalkan ketepatan warna serta keseimbangan tona dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Di hadapan, terdapat kamera selfie 13MP bersama dengan sensor 3D ToF untuk ciri face unlock.
Telefon ini turut hadir dengan beberapa ciri fotografi termasuk AI Composition yang memberi panduan framing secara masa nyata supaya komposisi gambar sentiasa kemas dan menarik, AI Remove untuk memadam orang atau objek yang tidak diingini di latar belakang, serta AI Best Expression yang secara automatik memilih ekspresi terbaik setiap ahli kumpulan untuk menghasilkan gambar berkumpulan yang sempurna.

Dari segi paparan, Mate 80 Pro menggunakan skrin LTPO OLED 6.75 inci dengan kadar segar semula sehingga 120Hz dan resolusi FHD+. Skrin ini juga menyokong PWM dimming 1440Hz serta kecerahan puncak sehingga 3,000 nits.
Paparan tersebut dilindungi Kunlun Glass generasi kedua yang dikatakan Huawei menggunakan nanokristal berkekuatan tinggi dan dikatakan sehingga 20 kali lebih tahan hentakan berbanding kaca biasa. Di bahagian belakang pula, Huawei menggunakan panel belakang berkemasan vegan fibre dengan reka bentuk yang dipanggil sebagai Dual Space Ring Design. Ia juga menyokong penarafan IP68 dan IP69.

Telefon ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu emas, hijau dan hitam.
Kuasa telefon digerakkan oleh cip Kirin 9030 Pro, yang dipadankan dengan RAM 16GB dan storan 512GB. Namun, berdasarkan laman spesifikasi global, ia tidak menyokong 5GHuawei turut menyertakan SuperCool Dual Phase Change Heat Dissipation System, yang dikatakan meningkatkan kecekapan pengaliran haba sehingga 16% lebih baik serta mengurangkan kadar peningkatan suhu peranti sekitar 33%.

Menyalurkan tenaga pada telefon adalah bateri berkapasiti 5,750mAh dan ia menyokong pengecasan HUAWEI SuperCharge 100W USB-C dan 80W wayarles. Sejurus keluar kotak, ia menjalankan sistem operasi EMUI 15.0.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Huawei Mate 80 Pro.






