• English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
Close
Home Jenama Apple

Dikuasakan cip A19, Apple TV 4K akhirnya tiba di Malaysia, harga bermula RM1,349

  • OLEH Mas Idayu
  • 6:42 pm
  • 14/10/2026
  • Komen
Dikuasakan cip A19, Apple TV 4K akhirnya tiba di Malaysia, harga bermula RM1,349
Share on FacebookShare on Twitter

Dah bersedia untuk naik taraf ruang tamu anda? Selepas menanti sejak tahun 2022, Apple akhirnya memperkenalkan Apple TV 4K generasi keempat dengan perubahan perkakasan yang cukup mengujakan!

Bukan setakat cip makin laju dan kualiti wayang makin mantap, berita paling melegakan adalah anda tak perlu lagi pening kepala menyeluk celah kusyen atau sofa sebab Siri Remote baharu ini direka khas supaya mudah dicari.



Bukan sekadar teman binge-watch hujung minggu, Apple TV 4K kini bertindak sebagai pusat kawalan kediaman di mana anda boleh melaras pelbagai peranti serasi tanpa perlu mencapai telefon pintar. Ini bermakna anda boleh malapkan lampu dan memeriksa keselamatan rumah, semuanya boleh diurus secara santai terus dari sofa.

Harga Apple TV 4K generasi keempat dan ketersediaan

Apple TV 4K generasi keempat baharu dijual pada harga rasmi RM1,349 di Malaysia. Berbeza dengan model sebelumnya, generasi kali ini hanya ditawarkan dalam satu varian 128GB dengan sokongan sambungan Wi-Fi dan Ethernet.



Pra-tempahan akan bermula pada jam 9:00 pagi, 15 Oktober 2026 waktu Malaysia menerusi laman web Apple Store. Peranti ini akan berada di pasaran secara rasmi bermula 13 November 2026, dan anda boleh dapatkannya menerusi Apple Store dalam talian seperti di Shopee dan Lazada.

Sebagai perbandingan, Apple TV 4K generasi ketiga terdahulu hadir dalam dua varian di Malaysia. Model 64GB Wi-Fi berharga RM949, manakala model 128GB dengan sokongan sambungan Wi-Fi dan Ethernet dengan harga RM1,149.

Walaupun mengekalkan kapasiti storan serta sambungan Wi-Fi dan Ethernet yang sama, ini bermakna Apple TV 4K generasi keempat baharu berharga RM200 lebih tinggi berbanding model sebelumnya.

Dikuasai cip A19 lebih padu dan hebat

Antara peningkatan terbesar kali ini pada Apple TV 4K ialah penggunaan cip Apple A19 yang jauh lebih berkuasa dan menggantikan cip A15 bionic daripada generasi terdahulu.

Menurut Apple, cip A19 membawakan prestasi CPU sehingga 50 peratus lebih pantas dan kuasa GPU dua kali ganda berbanding model sebelum ini. Peningkatan ini menjanjikan navigasi yang lebih responsif, animasi yang lebih lancar, serta prestasi yang lebih mantap semasa membuka aplikasi mahupun bermain permainan video.

Selain itu, cip A19 turut menyertakan penyahkod (decoder) AV1 khas yang membolehkan penstriman video berjalan dengan lebih cekap tanpa menggunakan data internet yang tinggi dan ia amat bermanfaat bagi platform penstriman yang menyokong format video AV1.

Sokongan ciri bunyi keliling yang gempak

Satu lagi penambahan utama ialah sokongan bunyi keliling (surround sound) dengan empat pembesar suara apabila dipadankan bersama HomePod mini 2 yang baru diumumkan Apple atau HomePod generasi kedua.

Sebelum ini, Apple TV 4K hanya menyokong padanan stereo HomePod, membolehkan pengguna menyambungkan dua pembesar suara HomePod yang serasi untuk ketersediaan teater rumah.

Menerusi Apple TV 4K generasi keempat, pengguna kini boleh menghubungkan sehingga empat pembesar suara HomePod yang serasi bagi membina sistem audio bunyi keliling yang lengkap.

Ini bermakna anda bebas memasang empat HomePod mini 2 secara seragam, atau cipta kombo mantap dengan meletakkan HomePod generasi kedua di hadapan dan HomePod mini 2 di belakang asalkan setiap pasangannya sepadan.

Paling menarik, sistem ini cukup pintar untuk mengesan sendiri lokasi setiap pembesar suara di ruang tamu dan melaras kelantangannya secara automatik

Tiada lagi drama alat kawalan hilang

Masalah apabila ingin menonton TV biasanya adalah, alat kawalan TV kerap kali hilang atau tidak dapat dikesan ketika hendak menonton TV.

Tetapi dengan Siri Remote baharu ini, ia mempunyai fungsi nada dering dan boleh dijejaki dengan tepat menggunakan aplikasi Find My apabila menggunakan iPhone yang serasi seperti model iPhone Duo, iPhone Air atau siri iPhone 17 dengan perisian iOS terkini.

Jadi jika alat kawalan tersorok atau terselit di kawasan sekitar ruang tamu, anda tetap boleh mencari alat kawalan Siri ini dengan pantas. Sekadar info, keupayaan memainkan bunyi nada dering adalah eksklusif untuk model Siri Remote baharu ini sahaja.

Apple TV 4K generasi keempat ini bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan tetapi juga bertindak sebagai hab Apple Home yang membolehkan pengguna mengawal aksesori rumah pintar yang serasi dari jauh antaranya adalah:

  • Interaksi loceng pintu yang serasi: Apabila menerima notifikasi, pengguna boleh memantau pelawat dan berbual secara terus menerusi skrin TV tanpa perlu menghentikan rancangan yang sedang ditonton.
  • Automasi kediaman & mod tetamu: Dengan Apple TV baharu ini, ia memiliki fungsi kawalan peranti rumah pintar secara automatik, seperti contoh anda boleh memalapkan lampu dan memeriksa keselamatan rumah secara terus dari sofa. Manakala fungsi mod tetamu pula, memberikan perkongsian akses yang fleksibel pada tetamu yang ingin menggunakan Apple TV generasi keempat di kediaman anda.
  • Ketersambungan rangkaian terbina: Sokongan protokol rangkaian terbina (thread) yang terdapat pada Apple TV 4K generasi keempat ini, memastikan sambungan peranti pintar kediaman yang lain menjadi lebih pantas, stabil, dan menjimatkan tenaga.
  • Keselamatan video HomeKit terjamin: Menyokong video keselamatan HomeKit (HomeKit Secure Video) untuk storan dan analisis rakaman kamera kediaman dengan penyulitan selamat.

Bagi aspek privasi, Apple TV 4K baharu memperkenalkan Secure Exclaves persekitaran pemprosesan terlindung yang mengasingkan data mikrofon daripada sistem selebihnya. Menurut Apple, data yang diproses di dalam zon keselamatan ini tidak boleh diakses oleh tvOS, aplikasi, pengguna, mahupun pihak Apple sendiri.

Di samping penstriman filem dan siri TV, peranti ini terus menyokong Apple Arcade, Apple Fitness+, serta panggilan FaceTime menerusi fungsi Kamera Kesinambungan (Continuity Camera) menggunakan iPhone atau iPad yang serasi.

Tags: appleApple TVApple TV 4KApple TV 4K 2026HomePodHomePod Mini 2Siri remote
Mas Idayu

Mas Idayu

POPULAR

Sukar pilih laptop kerja yang tepat? MSI Modern 16S AI+ mungkin selesaikan dilema anda

Sukar pilih laptop kerja yang tepat? MSI Modern 16S AI+ mungkin selesaikan dilema anda

6 October 2026
Beli iPhone 18 Pro mengikut gaya anda: Yes tawar lebih banyak pilihan dengan rebat & cashback

Beli iPhone 18 Pro mengikut gaya anda: Yes tawar lebih banyak pilihan dengan rebat & cashback

17 September 2026
Dikuasakan cip A19, Apple TV 4K akhirnya tiba di Malaysia, harga bermula RM1,349

Dikuasakan cip A19, Apple TV 4K akhirnya tiba di Malaysia, harga bermula RM1,349

14 October 2026
Cari laptop kerja & gaming berbaloi? Ini sebab MSI Cyborg 15 Max patut jadi pilihan

Cari laptop kerja & gaming berbaloi? Ini sebab MSI Cyborg 15 Max patut jadi pilihan

2 October 2026
Jangan simpan GrabCoins anda. Tukarkannya kepada baucar dan diskaun!

Jangan simpan GrabCoins anda. Tukarkannya kepada baucar dan diskaun!

14 August 2026
Bajet 2027: Rakyat dewasa dapat SARA RM100 dua kali, penerima STR sehingga RM1,800 setahun

Bajet 2027: Rakyat dewasa dapat SARA RM100 dua kali, penerima STR sehingga RM1,800 setahun

10 October 2026

Copyright © 2026 · SoyaCincau.com
Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • PENAFIAN

Copyright © 2026 · SoyaCincau.com – Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • PENAFIAN