Masa depan 5G di Malaysia masih samar-samar kerana adegan tarik tali antara Digital Nasional Berhad (DNB) serta empat syarikat telekomunikasi (telco) utama di Malaysia (Celcom, Digi, Maxis & U Mobile) masih tidak berkesudahan. Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dilaporkan telah menolak permintaan empat telco ini untuk memegang majoriti saham DNB. Kerajaan juga kekal dengan tarikh akhir pada 30 Jun 2022, untuk telco menandatangani perjanjian akses 5G DNB.
Kerajaan telah mengekalkan keputusan dengan model tunggal 5G pada Mac lepas dan empat telco terbesar ini menyatakan mereka menerima dengan hati terbuka. Telco-telco ini percaya bahawa pembangunan 5G boleh dijayakan berdasarkan prinsip ketelusan, kemampanan dan keselamatan.
Pada bulan April, DNB telah menerbitkan dokumen ‘Tawaran Akses Rujukan’ (Reference Access Offer, RAO) tetapi tiada satu pun daripada empat telco ini bersetuju menandatanganinya sehingga hari ini. Malah, mereka mengeluarkan kenyataan balas bersama mengatakan bahawa tawaran akses 5G oleh DNB tidak menyediakan harga mampu milik dan berkualiti untuk rakyat Malaysia. Buat masa ini, hanya YTL Communications (Yes 5G) dan Telekom Malaysia telah menerima tawaran akses 5G ini.
Daripada perhatian kami, ini adalah 5 sebab kenapa empat telco utama ini masih tidak bersetuju dengan tawaran DNB
1. Harga tawaran dikunci selama 10-tahun tanpa pengurangan
Dengan DNB sebagai penyedia tunggal 5G, kerajaan Malaysia berhasrat untuk membina rangkaian 5G dengan pantas dan harga berpatutan untuk pengguna, bagi mengejar semula persaingan 5G serantau di mana Malaysia jauh ketinggalan. Tidak seperti syarikat swasta yang mengejar keuntungan, DNB digambarkan sebagai ‘syarikat beroperasi secara pemulihan kos’ menggunakan model dipacu bekalan, untuk memastikan semua kawasan termasuk bandar luar bandar yang “tidak menguntungkan” tidak ditinggalkan dalam pembinaan liputan 5G.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul menerangkan di dalam Parlimen tahun lepas, DNB akan mengenakan caj kepada telco pada kadar kurang daripada 20 sen setiap GB untuk data 5G. Ini adalah lebih rendah berbanding kos masa kini ditawarkan telco di rangkaian 4G mereka.
Daripada kertas RAO yang diterbitkan DNB pada 31 Mac 2022, telco perlu membayar sebanyak RM30,000 setiap Gbps sebulan untuk kapasiti 5G. Untuk penggunaan melebihi 1,200 Gbps, DNB akan memberi diskaun pada kadar RM22,000 setiap GBps sebulan selepas itu. harga borong ini terikat dengan Terima Perkhidmatan Minima iaitu selama 10-tahun menurut dokumen tersebut.
Harga tetap selama 10-tahun menjadi perhatian utama kerana penggunaan data meningkat setiap tahun dan pengguna dijangka akan membayar harga berkurangan setiap GB. Semasa 4G dilancarkan di Malaysia pada tahun 2013, harga data setiap GB sekitar RM30 tetapi kini ia turun kepada RM1 setiap GB.
Jika objektif utama adalah untuk memberi akses pantas mampu milik kepada rakyat Malaysia, harga akses 5G haruslahmenurun secara berperingkat dan ia akan memastikan DNB kekal cekap kos. DNB boleh menyediakan jadual penurunan harga untuk memastikan kos kepada telco rendah dan pengguna membayar data 5G semakin murah untuk jangka masa panjang.
2. Jangkaan kos 5G tidak mencukupi untuk menyokong pertumbuhan masa hadapan
menurut DNB, kos keseluruhan untuk pembinaan 5G dalam masa 10 tahun akan datang dijangka sekitar RM16.5 bilion, termasuk kos rangkaian sebanyak RM12.5 bilion dan kos korporat RM4 bilion, termasuk perundingan dan pampasan pekerja. CEO DNB, Ralph Marshall memberitahu The Star dalam satu temubual, kos keseluruhan mungkin mencecah RM20 bilion antara 2025 dan 2030 jika ada peningkatan mendadak dalam permintaan kapasiti. DNB juga mensasarkan untuk mencapai 80% liputan di kawasan populasi pada 2024, dengan 7,509 tapak 5G.
Terdapat kebimbangan daripada pihak industri bahawa ramalan semasa ini tidak mencukupi untuk menyokong pertumbuhan trafik dan jumlah kos pasti akan melebihi anggaran RM16.5 bilion.
Menurut laporan Pasukan Petugas Khas 5G yang diterbitkan oleh SKMM pada Disember 2019, dijangkakan kos sebanyak RM7.5 bilion diperlukan untuk mencapai 90% liputan populasi dengan 10,000 tapak 5G 3.5GHz. Ini termasuk menaik taraf 9,000 tapak sedia ada kepada 5G, dan membangunkan 1,000 tapak baru 5G, di samping menaik taraf gelombang mikro dan jalur lebar tapak.
3. Menyewa daripada DNB mungkin lebih mahal daripada membina rangkaian 5G sendiri
Menurut DNB, model rangkaian borong tunggal (SWN) akan membantu perbelanjaan modal telco kerana RM7.5 bilion yang dijangka oleh Pasukan Petugas Khas 5G akan digunakan untuk menaik taraf rangkaian 4G sedia ada bagi mencapai liputan 90% populasi. Nilai ini tidak termasuk pelaburan sedia ada termasuk kapasiti. Membalas kepada kenyataan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, CEO DNB menjawab bahawa kos pembangunan akan melebihi RM30 bilion jika telco membina sendiri infrastruktur 5G.
Tetapi apa yang menarik adalah, laporan penyelidikan oleh CGS-CIMB pada Januari 2022 menyatakan bahawa DNB menjangkakan tiga telco iaitu Clecom, Maxis dan Digi untuk membayar yuran harga borong berjumlah RM7.4 ke RM8.4 bilion setiap satu selama 9 tahun antara 2022 hingga 2030. Jika empat telco membayar RM7.4 bilion, ia akan berjumlah RM29.6 bilion bayaran kepada DNB dan ia sangat menghampiri jangkaan DNB tentang kos pembangunan 5G oleh telco sendiri.
CGS-CIMB menjangkakan Maxis akan membayar RM36 juta pada tahun pertama, dan antara RM303 ke RM432 juta setahun antara 2023 dan 2026. Dengan liputan 5G berkembang dari tahun ke tahun, Maxis bakal membayar setinggi RM1.5 bilion setahun kepada DNB kerana peningkatan caj kapasiti.
Dengan jangkaan kos sekitar RM8 bilion selama 10 tahun untuk setiap telco, adalah lebih masuk akal untuk telco membina dan menguruskan sendiri rangkaian 5G mereka, berbanding menyewa akses secara borong.
Perlu diberi perhatian bahawa telco telah melabur beberapa tahun sebelum ini untuk menyediakan rangkaian 5G dan penganugerahan spektrum pada tahun 2020. Kos keseluruhan boleh dikurangkan lebih rendah jika empat telco ini dibenarkan untuk membangunkan rangkaian 5G di infrastruktur sedia ada mereka menerusi konsortium kerana langkah ini menggalakkan perkongsian rangkaian dan sumber.
4. Bimbang DNB akan turut bersaing di pasaran runcit
Walaupun DNB menyatakan bahawa ia penyedia borong rangkaian 5G dan dihalang daripada menyediakan perkhidmatan runcit 5G, maksud borong ini tidak diterangkan dengan jelas di dalam dokumen RAO. Ada kebimbangan dibangkitkan bahawa DNB akan bersaing di peringkat runcit dengan menawarkan penyelesaian rangkaian 5G peribadi tanpa memerlukan komitmen kapasiti.
Masalah lain yang turut dibangkitkan adalah kurangnya ketelusan. Walaupun harga borong diterangkan dalam RAO, ada kebimbangan mengenai beberapa telco tidak menerima keadilan kerana DNB mungkin akan mengenakan syarat berbeza untuk komitmen kapasiti minima kepada penyedia perkhidmatan berlainan. Adakah telco kecil perlu komitmen kapasiti yang sama seperti telco lebih besar? Adakah MVNO sekarang dibenarkan berurusan terus dengan DNB dan menikmati harga borong akses yang sama seperti empat telco utama? Persoalan ini tidak dijelaskan di dalam dokumen RAO.
5. Kekurangan rangka kerja dan instrumen untuk mengawal Rangkaian Borong Tunggal
SKMM telah menyatakan bahawa DNB akan diselia sama seperti telco lain. Tetapi kawal selia sedia ada tidak direka untuk meliputi 5G dan model SWN. Contohnya, Standard Mandatori Harga Akses (MSAP) yang telah membantu menurunkan harga jalur lebar dahulu, tidak melibatkan talian mudah alih dan 5G. Manakala Standard Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) yang diperbaharui tahun lepas, juga tidak menetapkan standard minimum untuk 5G. Standard sekarang adalah untuk menyediakan kelajuan minima 2.5Mbps iaitu 40x lebih rendah daripada janji DNB iaitu kelajuan terendah 100Mbps di liputan paling lemah 5G.
Buat masa ini, semua telco telah dikawal selia oleh SKMM dan dikenakan denda jika gagal mematuhi standard yang ditetapkan. Jika pengguna masih banyak mengadu tentang rangkaian 4G sekarang, bagaimana SKMM mahu memastikan 5G akan lebih daripada 4G jika tiada rangka kerja tetap untuk mengawal selia model SWN?
Selain daripada cara yang betul untul mengawal selia 5G, SKMM juga mestilah memastikan RAO disemak semula untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan supaya Malaysia dapat mula menawarkan 5G menerusi empat telco utama bersama DNB.
Tengku Zafrul juga ada menyatakan bahawa kerajaan tidak akan menolak cadangan untuk membenarkan pemilikan saham DNB oleh syarikat swasta dari dalam dan luar negara, jika empat telco utama menolak tawaran pada akhir bulan ini. Tetapi wujudkan syarikat yang berminat dengan operasi pemulihan kos DNB yang tidak disertai oleh empat telco utama yang memegang lebih 80% pelanggan di Malaysia?
[Sumber: SoyaCincau]
Bacaan Berkaitan
- Kerajaan tolak cadangan telco pegang saham majoriti DNB, tarikh akhir persetujuan kekal 30 Jun
- Kenapa 4 telco ini masih tidak mahu sertai DNB?
- Ini yuran langganan telco sekiranya sertai DNB untuk akses 5G
- Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile sedia berbincang untuk ambilalih pegangan kerajaan dalam DNB
- Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, dan TM sambut baik keputusan kerajaan kekalkan rangkaian 5G tunggal di Malaysia