Anda pernah terfikir tak bagaimana anda akan bertindak untuk dapatkan pertolongan kecemasan jika hadapi kemalangan seorang diri dan telefon jauh dari anda? Contohnya seperti situasi yang dialami seorang wanita di Sungai Columbia, dia terperangkap di dalam air seorang diri selepas kakinya tersangkut di celah batu. Untuk dapatkan pertolongan, dia telah hubungi pihak kecemasan menggunakan Apple Watchnya.
Sebenarnya, bantuan tersebut adalah hasil daripada fungsi Emergency SOS yang terbina di dalam Apple Watch. Apabila anda buat panggilan dengan Emergency SOS, Apple Watch akan bantu hubungi perkhidmatan kecemasan tempatan dan kongsi lokasi anda dengan mereka. Selepas panggilan ditamatkan, Apple Watch akan hantar mesej kepada kenalan kecemasan anda beserta lokasi semasa. Jadi, bukan pihak kecemasan sahaja akan dimaklumkan mengenai kemalangan anda, malah kenalan anda juga.
Ciri ini sangat berguna, lebih-lebih lagi jika anda hadapi kemalangan seorang diri. Untuk tambah kenalan kecemasan di iPhone, anda boleh rujuk caranya di sini. Untuk hubungi perkhidmatan kecemasan menggunakan Apple Watch, berikut merupakan caranya:
Cara hubungi perkhidmatan kecemasan guna Apple Watch
Emergency SOS perlukan sambungan selular dengan rangkaian Internet daripada Apple Watch atau iPhone berdekatan untuk berfungsi. Untuk hubungi pihak kecemasan:
- Tekan lama butang ditepi (bawah butang Home) sehingga muncul paparan Emergency Call
- Seret pada pilihan Emergency Call untuk mulakan panggilan
- Cara lain, anda boleh tekan butang di sisi dengan lama, kemudian selepas countdown, jam tangan anda akan buat panggilan perkhidmatan kecemasan secara automatik
Selain cara manual ini, ada dua situasi yang membolehkan Apple Watch hubungi pihak kecemasan secara automatik. Pertama adalah ketika ia mengesan anda mengalami kemalangan kereta dan kedua apabila ia mengesan anda alami jatuh yang teruk. Berikut merupakan cara untuk aktifkan ciri tersebut di Apple Watch anda.
Aktifkan Fall Detection supaya bantuan tiba ketika anda alami jatuh yang teruk
Tersedia pada Apple Watch Siri 4 ke atas dan Apple Watch SE, anda boleh aktifkan ciri Pengesanan Jatuh (Fall Detection) untuk dapatkan bantuan kecemasan automatik apabila anda alami jatuh yang teruk.
Jika Apple Watch mengesan anda bergerak selepas jatuh, ia akan tunggu anda balas notifikasi yang dipaparkan dan tidak akan memanggil perkhidmatan kecemasan secara automatik. Tapi, jika ia mengesan anda tidak bergerak selama kira-kira seminit, maka panggilan kecemasan automatik akan dilakukan. Selepas panggilan ditamatkan, jam tangan anda akan hantar mesej kepada kenalan kecemasan bersama lokasi anda untuk beritahu mengenai hal tersebut.
Untuk hidupkan ciri ini, anda boleh ikut langkah di bawah:
- Buka aplikasi Apple Watch pada iPhone, kemudian tekan tab My Watch
- Tekan Emergency SOS
- Tukar Fall Detection kepada On atau Off. Jika Fall Detection dihidupkan, anda boleh pilih Always on atau Only on during workouts
Ciri Pengesanan Jatuh ini telah terbukti membantu ramai pemakai. Antaranya, seorang doktor terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika membersihkan rumah, kemudian Apple Watch yang dipakai bantu dapatkan perkhidmatan kecemasan untuknya. Seterusnya di Singapura, seorang penunggang motosikal jatuh dari motor selepas menjadi mangsa langgar lari, lalu Apple Watch miliknya mengesan dia terjatuh lalu mendapatkan perkhidmatan kecemasan. Ciri ini juga telah bantu seorang lelaki dapatkan bantuan kecemasan setelah dia tiba-tiba pengsan di tandas hospital.
Guna Crash Detection untuk dapatkan bantuan automatik ketika kemalangan
Selain itu, jika anda ada Apple Watch Series 8, Apple Watch SE generasi ke-2 atau Apple Watch Ultra dengan versi terkini watchOS, peranti anda boleh hubungi perkhidmatan kecemasan dan hantar mesej kepada kenalan kecemasan apabila ia mengesan kemalangan kereta berlaku. Ciri ini dinamakan Crash Detection. Ciri ini juga terdapat di dalam iPhone 14 dan iPhone 14 Pro bersama versi iOS terkini.
Melalui ciri ini, Jika anda tidak bertindak balas selama 20 saat selepas amaran dipaparkan, peranti akan secara automatik memanggil perkhidmatan kecemasan untuk membantu anda.
Pada model yang disokong, Crash Detection akan dihidupkan secara lalai. Tapi, jika anda mahu matikannya kerana risau jika ia salah mengesan situasi, maka ini merupakan caranya:
- Di iPhone buka tetapan
- Tekan Emergency SOS
- Tekan Off pada Call After Severe Crash
- Kemudian buka aplikasi Apple Watch
- Pada tab My Watch, tekan Emergency SOS
- Tekan Off pada Call After Severe Crash
Untuk keselamatan, baik anda aktifkan semua ciri ini jika anda miliki Apple Watch. Kemalangan boleh berlaku di mana sahaja dan jika anda bersendirian peranti ini boleh membantu anda.
[Sumber: Apple]