Persidangan Apple WWDC 2023 telah membentangkan banyak perkara baru dihasilkan oleh Apple. Salah satu yang dinanti ramai adalah sistem operasi (OS) terbaru, iOS 17. Banyak pembaharuan diperkenal di dalam iOS 17, tetapi salah satu persoalan yang banyak diperkatakan adalah, iPhone mana yang layak menerima kemaskini iOS 17?
iPhone memang terkenal sebagai peranti yang menerima kemaskini OS terpanjang, jauh lebih panjang daripada peranti Android. iOS 16 misalnya, boleh dipasang sehingga iPhone 8 dan iPhone 8 Plus, yang dilancarkan pada September 2017. Nampaknya, perkara yang sama juga disediakan untuk iOS 17.
Dalam pengumuman hari ini, Apple telah mengeluarkan tiga model iPhone dari senarai yang layak menerima iOS 17 iaitu iPhone X, iPhone 8 dan iPhone 8 Plus. Telefon pintar Apple yang boleh menggunakan iOS 17 bersama pengimbas capjari Touch ID hanya tinggal iPhone SE (gen-2) dan iPhone SE (gen-3). Peranti paling lama adalah iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR yang dilancar pada tahun 2018.
Berikut adalah senarai penuh peranti Apple yang boleh dinaik taraf ke iOS 17:
- iPhone 14
- iPhone 14 Plus
- iPhone 14 Pro
- iPhone 14 Pro Max
- iPhone 13
- iPhone 13 mini
- iPhone 13 Pro
- iPhone 13 Pro Max
- iPhone 12
- iPhone 12 mini
- iPhone 12 Pro
- iPhone 12 Pro Max
- iPhone 11
- iPhone 11 Pro
- iPhone 11 Pro Max
- iPhone XS
- iPhone XS Max
- iPhone XR
- iPhone SE (gen-2)
- iPhone SE (gen-3)
iOS 17 membawakan beberapa ciri-ciri baharu kepada iPhone. Antaranya AirDrop dinaiktaraf dengan kemampuan perkongsian kenalan dalam jarak dekat, menggunakan NameDrop. Ada juga fungsi Contact Poster baru, membolehkan pengguna mengubahsuai gambar wallpaper kenalan yang akan keluar apabila membuat atau menerima panggilan kenalan tersebut.
Memanggil Siri juga lebih mudah, cukup dengan menyebut “Siri” tidak lagi “Hey Siri” dan arahan suara boleh dibuat banyak kali tanpa memanggil Siri semula. Jika tidak dapat menjawab panggilan, fungsi baru “Live Voicemail” akan mengubah mesej suara yang ditinggalkan kepada teks secara masa nyata di skrin.
Seperkara lagi naiktaraf yang menarik adalah “StandBy”, yang mengubah iPhone kepada paparan sentiasa hidup seperti Apple Watch semasa mengecas. Dalam kedudukan melintang, ia boleh menunjukkan jam, widget, kalendar dan banyak lagi.
Pembangun perisian boleh menggunakan iOS 17 Beta mulai hari ini. Manakala Beta Awam akan tersedia pada bulan Julai. Versi akhir iOS 17 akan dilepaskan semasa iPhone 15 dilancarkan. Tarikhnya belum diketahui tetapi biasanya akan diadakan pada suku ketiga 2023.