Acer hari ini mengumumkan ketibaan tiga produk Predator baharu untuk pasaran Malaysia, desktop Orion 3000, monitor XB323QU P dan laptop Predator Triton 14 AI. Ini bukanlah kali pertama laptop Predator Trition 14 AI diperlihatkan kerana ia telah pun diumumkan pada acara Computex 2025 pada Mei lalu. Sementara itu, Orion 3000 baharu pula hadir sebagai kemas kini kepada model keluarantahun 2022.
Harga Predator Triton 14 AI di Malaysia

Untuk mereka yang berminat, Predator Triton 14 AI ditawarkan dalam satu konfigurasi dengan RAM LPDDR5X 32 GB dan SSD NVMe PCIe Gen 4 2TB, dan dijual pada harga RM12,999.
Menariknya, Acer turut menawarkan hadiah percuma alat kawalan Predator Wireless Gaming Controller dan kredit TnG eWallet bernilai RM200 kepada pembeli yang membelinya sebelum 28 November 2025. Ia boleh didapatkan menerusi stor online Acer serta Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Predator Triton 14 AI

Predator Triton 14 AI tampil dengan reka bentuk sleek dan premium. Badannya diperbuat daripada aluminium tahan lasak, dengan berat hanya 1.6kg dan tebal 17.31mm. Acer juga mengatakan casis laptop diselaputi dengan salutan anti cap jari,bagi memastikan permukaannya kekal bersih dan tampil elegan sepanjang masa.
Triton 14 AI dilengkapi dengan paparan bersaiz 14.5-inci jenis OLED WQXGA+ (2880 x 1800), menyokong kadar segar semula 120Hz, masa respons GTG sepantas 1ms, cakupan gamut warna DCI-P3 100%, serta memiliki Calman Verified untuk ketepatan warna lebih baik. Tambahan pula, paparannya turut menyokong kawalan melalui sentuhan.



Dari segi prestasi, Triton 14 AI dikuasakan oleh pemproses Intel Core Ultra 9 288V, bersama pilihan GPU NVIDIA GeForce RTX 5070 dengan DLSS 4. Ia turut dipadankan dengan RAM LPDDR5X sehingga 32GB dan storan PCIe Gen 4 NVMe sehingga 2TB. Sebagai sebuah Copilot+ PC, pengguna juga mendapat ciri AI Windows macam Live Captions dan penjanaan imej terus dalam Microsoft Paint.
Untuk sistem penyejukan, laptop ini menggunakan kipas AeroBlade generasi ke-6, yang dikatakan mempunyai bilah ternipis di dunia dengan ketebalan hanya 0.05mm. Kipas tersebut digabungkan dengan sistem Vortex Flow memastikan aliran udara kekal optimum dan berkesan, walaupun dalam casis nipis. Ia juga menggunakan menggunakan graphene sebagai bahan Thermal Interface Material (TIM) pada CPU, menawarkan kecekapan pelesaban haba 14.5% lebih baik dari biasa.



Satu perkara yang membuatkan Triton 14 AI menarik adalah, pad sesentuh haptik yang digunakan dilindungi kaca Corning Gorilla Glass dan disertakan dengan sokongan stylus untuk protokol seperti AES 2.0, USI 2.0 dan MPP 2.5. Ia menawarkan tahap tekanan sebanyak 4,096, memboleh pengguna melukis atau menulis dengan lebih tepat dan intuitif.
Laptop ini juga tampil dengan papan kekunci RGB, Human Presence Detection (HPD), aplikasi PredatorSense, Intel Killer WiFi 7 dan sokongan Thunderbolt 4.
Harga Predator Orion 3000 & XB323QU P di Malaysia

Untuk Predator Orion 3000, ia tersedia dalam dua varian dan berikut adalah harga rasmi di Malaysia:
- Predator Orion 3000 (Intel Core i7-14700F) – RM5,999
- Predator Orion 3000 (Intel Core i5-14400F) – RM4,999
Pembeli yang membeli desktop ini sebelum 27 November 2025 turut akan menerima hadiah bernilai sehingga RM549, berupa kredit Touch n ‘Go eWallet dan alat kawalan Predator Wireless Gaming Controller, atau headset Predator Galea, bergantung pada model.

Manakala, harga rasmi untuk monitor Predator XB323QU P pula adalah RM1,099. Namun, ia ditawar lebih murah dari 14-16 November pada RM879, sempena pelancarannya. Pembeli turut akan menerima percuma tetikus Predator Cestus 330 bernilai RM269.
Anda boleh dapatkan Predator Orion 3000 di stor online Acer, Lazada dan Shopee, manakala monitor XB323QU P juga di stor online Acer, Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Predator Orion 3000 & monitor XB323QU P

Predator Orion 3000 merupakan desktop gaming dalam rangka 28 liter, menampilkan panel kaca di sisi serta reka bentuk mesh bagi membantu aliran udara. Di bahagian depan dan belakang, ia dilengkapi kipas RGB 120mm untuk penyejukan yang lebih konsisten.

Untuk spesifikasi, model ini hadir dengan GPU NVIDIA GeForce RTX 5060 dan pilihan cip pemproses Intel Core i7-14700F atau i5-14400F. Ia menyokong RAM DDR4 sehingga 32GB dalam konfigurasi dwi-slot, bersama storan M.2 PCIe SSD sehingga 2TB serta HDD 7200 RPM sehingga 2TB.

Monitor gaming Predator XB323QU P pula menggunakan panel IPS 31.5 inci dengan resolusi WQHD (2560×1440). Ia menawarkan kadar segar semula 180Hz dan masa respons serendah 0.5ms (G2G, minimum), sesuai untuk sesi permainan pantas. Monitor ini turut menyokong teknologi AMD FreeSync, gamut warna sRGB 99%, serta sokongan HDR10.






