Pada bulan Mac lepas, BigPay telah mengumumkan bahawa mereka terpaksa menurunkan had bulanan untuk tambah nilai menggunakan kad kredit, dari RM10,000 kepada RM5,000 akibat kos yang tinggi. Kini mereka melakukannya sekali lagi, menurunkan had ini kepada separuh menjadi RM2,500 sahaja.
Alasan yang sama diberikan oleh BigPay untuk menurunkan had ini. Mereka terpaksa melaksanakan pengurangan had ini untuk memastikan kos yang rendah agar lebih banyak penjimatan boleh diberikan kepada pengguna. Ini kerana syarikat kad kredit mengenakan caj yang tinggi dan BigPay terpaksa menyerap kos ini untuk memberi lebih pilihan tambah nilai kepada pengguna.
Tambah nilai tanpa had masih boleh dibuat melalui kad debit atau perbankan dalam talian. BigPay juga menerangkan, mereka akan memperkenalkan lebih banyak pilihan untuk tambah nilai tidak lama lagi, janji yang sama diberikan pada bulan Mac lepas tetapi masih tidak kelihatan hingga kini.
Selain menggunakannya sebagai kad bayaran fizikal, BigPay juga boleh digunakan untuk membuat penghantaran wang ke dalam akaun bank di dalam dan luar negara. Selepas melancarkan fungsi penghantaran wang luar negara untuk Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand, BigPay menambah tiga lagi negara awal tahun ini iaitu Bangladesh, India dan Pakistan.