Amazfit melancarkan satu jam tangan penjejak aktiviti dalam bernama Amazfit GTS 2 Mini. Rupanya mirip Mi Watch Lite yang masuki Malaysia tak lama dulu pada harga RM249. Melihatkan pada spesifikasi GTS 2 Mini, saya rasakan yang ia mungkin dijual lebih rendah daripada harga tersebut sekiranya masuki Malaysia kerana jam ini tiada GPS.
Setakat ini, ia hanya ada di India dan dijual pada harga INR6,999 (RM386). Pada harga tersebut, ini adalah jam berpanel AMOLED termurah daripada Amazfit.
Hal ini kerana, untuk harga yang lebih rendah daripada itu, anda dah masuk dalam kategori Amazfit Bip yang gunakan panel IPS dan transflektif.
Amazfit GTS 2 Mini, seperti namanya, dia mewarisi banyak ciri-ciri Amazfit GTS 2 yang asal. Bezanya Cuma ia tidak didatangkan dengan sensor GPS. Makanya, bila anda rakam aktiviti, data lokasi tidak direkodkan sekali dalam analisis. Sensor-sensor yang ada adalah seperti:
- Akselerometer
- Giroskop
- Geomagnetik
- Cahaya
Jam ini tiada Wi-Fi sebaliknya komunikasi dengan telefon dilakukan menggunakan protokol Bluetooth 5.0 BLE.
Di bahagian muka jam, ia gunakan panel AMOLED sebesar 1.55 inci. Segala imej dipaparkan melalui paparan beresolusi 354 x 306 pada kepadatan piksel 301 untuk setiap inci.
Baterinya 220mAh, lebih kecil tapi ada jangkamasa guna yang agak panjang. Ia boleh pergi sehingga 21 hari lamanya ataupun 7 hari dalam penggunaan berat.
Jam ini didatangkan dengan strap silikon bersaiz 20mm. Ia adalah saiz yang sama dengan model GTS 2 dan ia gunakan penyambungan universal. Maka, tiada masalah untuk cari produk pihak ketiga untuk dipadankan dengan jam tangan ini.