Penggunaan skuter elektrik (e-skuter) di atas jalan raya sudahpun tidak dibenarkan sejak Januari 2021. Entah kenapa Polis Diraja Malaysia masih pada fasa mengingatkan orang ramai tentangnya hampir 10 bulan kemudian.
Mungkin disebabkan beberapa video yang tular tentang ada orang menunggang e-skuter di atas jalan raya dalam keadaan berbahaya ataupun membahayakan orang lain. Namun, bukankah perkara begini tidak akan berlaku sekiranya lebih ramai peronda dikerahkan sehari-hari?
Walau apapun, pihak PDRM menyatakan bahawa orang yang menggunakan basikal, basikal elektrik, dan trisikal masih tertakluk kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 di bawah Seksyen 54. Di bawah seksyen tersebut, ada peruntukkan hukuman sekiranya golongan ini didapati melakukan kesalahan seperti:
- Seksyen 42: Memandu secara melulu dan membahayakan
- Seksyen 43: Memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa
- Seksyen 44: Memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah
- Seksyen 44(A): Memandu atau menjaga kenderaan motor dengan kepekatan alcohol melebihi had yang ditetapkan
Sekiranya didapati bersalah, individu boleh dikenakan penjara sehingga 3 bulan dan/atau denda sehingga RM1,000.
Penggunaan e-skuter kini popular di bandar-bandar besar contohnya di Lembah Klang. Malah, ada pihak yang menyediakan perkhidmatan menyewa e-skuter ala-ala menyewa basikal elektrik untuk kegunaan bergerak dalam jarak singkat seperti Beam.
Ungang-undang mengawal selia e-skuter atas jalan raya buat masa ini sangat samar-samar. Malah pihak berkuasa turut menghadapi masalah untuk mengawalnya. Disember 2020, JPJ masih belum mengeluarkan larangan e-skuter atas jalan raya. Ada yang mencadangkan untuk JPJ mewujudkan sistem perlesenan seperti kenderaan bermotor lain.
Di Singapura, pihak berkuasa di sana mewajibkan pengguna e-skuter untuk lulus satu ujian teori sebelum dibenar menggunakan gajet itu.