Xiaomi Mi A1 kini RM100 lebih murah

Telefon Android asli pertama dari Xiaomi iaitu Mi A1, kini dipotong harga RM100 dari harga asal RM1,099 menjadi RM999 sahaja. Dengan ini, ia boleh dinobatkan sebagai telefon pintar terbaik untuk dimiliki di bawah RM1,000.

Perkara ini diumumkan menerusi Facebook Mi Malaysia. Orang ramai boleh membeli Mi A1 pada harga RM999 di stor rasmi Xiaomi di Lazada, stor fizikal di Suria KLCC dan Queensbay Mall, serta pengedar sah yang boleh disemak senarai di sini.

Mungkin Xiaomi merasa tergugat dengan ketibaan beberapa model baru telefon pintar dalam harga yang hampir sama, tetapi menampilkan skrin nirbingkai seperti OPPO F5 (RM1,298), Huawei Nova 2i (RM1,299) dan juga vivo V7 (RM1,299).

Mi A1 boleh didapati dalam tiga warna, di antara Hitam, Emas dan Emas Ros.

 

Newsflash: Mi A1 is now available for RM999! The Mi A1 features dual cameras with 2x optical zoom (12MP wide-angle +…

Posted by Mi Malaysia on Monday, 20 November 2017

 

Telefon pintar Mi A1 adalah telefon pintar Xiaomi yang tidak menggunakan antaramuka MIUI, sebaliknya memberikan pengalaman asli Android. Ia dikuasakan pemproses Snapdragon 625 yang cekap tenaga, 4GB RAM dan 64GB storan dalaman.

Satu lagi tarikan Mi A1 adalah dua kamera belakang 12MP dengan keupayaan 2x zum optikal. Kamera hadapannya pula 5MP. Skrin Mi A1 berukuran 5.5-inci, dengan nisbah 16:9 dan resolusi HD Penuh 1920×1080.

Bateri di dalamnya berkapasiti 3,080mAh yang boleh dicas menggunakan sambungan USB-C. Tetapi tiada sokongan pengecasan pantas QuickCharge.

Lebih banyak info tentang telefon ini boleh didapati di laman web Xiaomi Mi A1.