Empat jenis Galaxy S10 dikesan di Filipina dalam tempahan awal dengan hadiah lebih RM2000

Kita telah tahu tentang pelancaran Galaxy S10 akan diadakan pada 20 Februari nanti. Tetapi Samsung nampaknya tidak sabar untuk mula menjualnya apabila telah membuka tempahan awal di Filipina. Malah, ia menawarkan hadiah percuma bernilai lebih RM2,000!

Samsung Filipina telah membuka laman khas tempahan awal Samsung Galaxy S10 dengan bayaran deposit hanya PHP2,000 (~RM156). Selepas mendaftar masuk, ia akan memperlihatkan empat jenis telefon pintar untuk dipilih. Menariknya, ia seperti tempahan buta kerana model dan spesifikasi peranti tersebut langsung tidak diketahui.

Dari gambar ini, kita boleh mengatakan Option A dan B ialah Galaxy S10+, Option C ialah Galaxy S10 dan Option D ialah Galaxy S10e. Menurut terma dan syarat, telefon pintar Option B, C dan D akan boleh diambil bermula 1 Mac 2019. Manakala Option A dengan tanda LIMITED EDITION, hanya dapat dimiliki bermula 15 Mac 2019.

Option A LIMITED EDITION ini dipercayai ialah Galaxy S10+ dengan kemasan seramik berwarna hitam. Ia juga dijangka memiliki RAM sebanyak 12GB dan storan dalaman seluas 1TB.

Selepas memilih telefon pintar yang mahu ditempah, pengguna akan dibawa ke laman hadiah percuma. Bagi Option A, ia menyediakan hadiah percuma berupa kotak misteri bernilai PHP28,499 (~RM2,226), adapter HDMI bernilai PHP2,199 (~RM171), insuran skrin nanofixit selama 30-hari dan baucar 10% untuk pembelian tablet dan peranti boleh pakai terpilih.

Tidak diketahui apakah yang terkandung di dalam kotak misteri ini, tetapi melihatkan pada harganya dan khabar angin yang tersebar, ia mungkin adalah jam pintar Galaxy Watch Active dan fon kepala Gear IconX yang hangat dikatakan akan dilancar bersama Galaxy S10 nanti.

Untuk tiga Option lain, tempahan awal akan menerima hadiah berupa kotak misteri bernilai PHP13,499 (~RM1,054), dan baucar bernilai PHP7,000 (~RM546). Hadiah tambahan turut disediakan berupa insuran skrin nanofixit selama 30-hari dan baucar 10% untuk pembelian tablet dan peranti boleh pakai terpilih.

BACA  Samsung Umum Penghasilan Pukal DDR4 Generasi 3 Tak Lama Lagi

Tempahan awal ini dibuka bermula dari 8 hingga 17 Februari 2019. Ini adalah satu tempahan berisiko tinggi kerana pengguna langsung tidak mengetahui apakah peranti yang ditawarkan, tidak diberitahu spesifikasi seperti RAM dan storan dalaman, malah hadiah pun dirahsiakan. Harga peranti juga tidak diketahui.

Tetapi tempahan awal ini mungkin eksklusif untuk pelanggan tertentu kerana ia tidak dipaparkan di laman utama Samsung Filipina.

Majlis pelancaran Galaxy S10 akan dibuat di San Francisco, Amerika Syarikat pada 20 Februari 2019. Ia boleh ditonton secara langsung menerusi laman web Samsung Malaysia pada 21 Februari 2019, pukul 3 pagi. Dijangka, tempahan awal di Malaysia akan diumumkan selepas majlis pelancaran ini selesai.

Tempahan awal peranti flagship Samsung di Malaysia sering datang dengan hadiah percuma bernilai besar. Selain diskaun tunai, pelbagai hadiah berupa aksesori dan peranti lain sering diberikan bersama tempahan awal. Adakah anda berminat membuat tempahan awal? Jangan lupa untuk menonton siaran langsung pelancarannya nanti.

[Sumber: Samsung Filipina, GSMarena, OnLeaks]