Telefon Honor dengan tiga kamera akan datang ke Malaysia

Awal minggu ini, Honor baru melancarkan telefon pintar Honor 8C berharga RM599. Belum sempat lagi ia mula dijual, Honor Malaysia mengumumkan pula ketibaan satu lagi telefon pintar baru keluaran mereka.

Tetapi Honor Malaysia tidak menyatakan telefon apa yang akan datang itu, melainkan berkongsi satu gambar tiga keping donut dengan tajuk ‘Triple The Fun‘. Sudah pasti, ia merujuk kepada telefon pintar yang memiliki tiga kamera di belakang.

Honor hanya ada dua model dengan tiga kamera belakang. Pertama ialah Honor Magic 2 tetapi ia hanya dijual di China. Model kedua ialah Honor 10i yang baru dilancarkan di Rusia minggu lepas.

Honor 10i memiliki skrin 6.21-inci HD Penuh+ dengan takuk kecil di atas. Ia dikuasakan cip pemproses Kirin 710 bersama RAM 4GB dan storan 128GB. Ia menerima kad mikroSD untuk storan tambahan.

Tiga kamera belakangnya merangkumi kamera utama 24MP F1.8, kamera kedua pula bersudut ultra lebar 8MP F2.4 dan kamera ketiga mengesan kedalaman 2MP F2.4. Di hadapan, ia menggunakan kamera 32MP dan terletak di dalam takuk kecil di atas skrin.

Kemasan belakang Honor 10i menggunakan efek kaca aurora dengan warna gradien. Pengimbas capjari terletak di belakang dan ia turut menyokong pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin.

Bateri di dalam telefon ini berkapasiti 3,400mAh dan masih menggunakan port mikroUSB untuk mengecas. Yang baiknya, ia masih memiliki jek audio 3.5mm.

Spesifikasi Honor 10i ini amat mirip dengan Huawei Nova 4e yang telah dijual di Malaysia pada harga RM1,199. Di Rusia pula, Honor 10i telah dijual pada harga RUB19,990 (~RM1,270).

BACA  Honor 20 akan menjadi klon Huawei P30 Pro?

Harga di Eropah biasanya jauh lebih mahal dari di Malaysia. Peranti Honor yang mirip dengan Huawei pula, biasanya lebih murah sedikit. Jadi kami rasakan, Honor 10i ini akan dijual di bawah RM1,199 di Malaysia, mungkin juga tidak sampai RM1,000.

Tiada sebarang tarikh diberitahu tetapi ia dijangka sampai ke Malaysia sekitar bulan April depan.