Oppo Reno sah ada kamera 10x zum

Tinggal lagi 5 hari majlis pelancaran telefon pintar Oppo Reno akan diadakan. Tetapi sedikit demi sedikit, Oppo sendiri mendedahkan maklumat berkenaan siri baru telefon pintar mereka.

Awal minggu ini, rupa Oppo Reno telah dimuat naik ke laman e-dagang JD.com yang menyenaraikan telefon pintar tersebut untuk dijual. Bagaimanapun, spesifikasi yang disenaraikan di situ menunjukkan Oppo Reno tidak memiliki kamera 10x zum lossless yang diperkenalkan oleh Oppo di MWC 2019 bulan Februari lepas.

Tetapi maklumat ini mungkin separuh benar kerana Oppo sendiri telah membuka laman mikro Reno yang jelas menunjukkan ia memiliki tiga kamera belakang yang serupa dengan telefon konsep Oppo dengan kamera 10x zum lossless.

Laman mikro tersebut adalah satu laman permainan cari benda tersembunyi. Jika anda berjaya mencari tiga benda tersebut, ia akan memberi petunjuk kepada pengguna tentang tiga kamera belakang Oppo Reno.

Perkara ini mengesahkan Reno akan datang kamera 10x zum lossless. Apatah lagi, pautan laman mikro tersebut menyatakan dengan jelas Reno 10x zoom: events.oppo.com/en/reno-10x-zoom

Jadi bagaimana pula dengan Reno yang terpapar di JD.com? Oppo mungkin akan memperkenalkan dua versi Reno, pertama dengan tiga kamera belakang serta 10x zum dan versi kedua hanya dua kamera belakang.

Selain kamera, spesifikasi lain berkenaan Oppo Reno 10x zoom yang dikongsi oleh Ishan Agarwal ialah penggunaan cip Snapdragon 855, RAM 8GB, storan 256GB, paparan OLED dengan nisbah ke badan 93.1% dan sistem operasi ColorOS 6.0.

Satu video yang menunjukkan bagaimana Oppo Reno berfungsi telah tersebar. Oppo Reno dilihat tidak memiliki takuk dan kamera hadapannya tersembunyi di dalam modul boleh keluar dalam bentuk seperti sirip ikan jerung. Ia adalah satu cara baru bagi menyembunyikan kamera hadapan untuk telefon tanpa takuk di skrin.

BACA  AirAsia tambah penerbangan lewat malam dengan harga tetap sempena Hari Raya

Oppo Reno sendiri telah lulus pengiktirafan di SIRIM, tetapi dipercayai ini ialah versi dua kamera yang dikuasakan cip Snapdragon 710. Bermakna, ia sedia dijual dan digunakan di Malaysia. Tetapi bila?