fbpx

Adakah Samsung bermurah hati atau terlalu mengejar keuntungan?

Pelancaran Galaxy Note 10 dilihat seperti satu langkah ke depan dan tiga langkah ke belakang oleh Samsung. Mana tidaknya, ia tidak lagi menggunakan paparan Quad HD, bateri lebih kecil dari model sebelumnya, membuang jek audio serta tiada lagi slot kad mikroSD.

Harga Galaxy Note 10 di Malaysia pula, sedikit lebih tinggi dari Galaxy Note9 ketika dilancarkan. Tetapi Samsung memberikan storan berganda di Galaxy Note 10 untuk menutupi kelemahan lain sambil menaikkan harga.

Satu perkara menarik tentang Samsung telah diperkatakan oleh pembocor berita terkenal, Ice Universe. Dalam kicauannya di twitter, Ice Universe mengatakan Samsung harus diberi “Anugerah Tidak Mementingkan Diri Sendiri“.

Ini kerana Samsung memiliki banyak teknologi baharu tetapi tidak menggunakannya di dalam telefon pintar keluaran mereka. Sebaliknya diberikan kepada pengeluar lain untuk digunakan. Antara teknologi tersebut ialah:

  • Storan UFS3.0 – pertama digunakan oleh OnePlus
  • Skrin 90Hz 2K – pertama digunakan oleh OnePlus
  • Skrin tanpa bingkai “waterfall” – diberi kepada Huawei & Vivo
  • Kamera 64MP – diberi kepada Redmi & Realme
  • Kamera 108MP – diberi kepada Xiaomi

Sedangkan dalam telefon pintar Galaxy Note 10 yang terbaru, ia hanya menggunakan skrin HD Penuh dan kamera utama 12MP dengan saiz sensor 1/2.55-inci yang sama sejak Galaxy S7 edge.

BACA  Cara kamera Galaxy A80 berputar dari belakang ke depan sangat unik

Adakah Samsung terlalu bermurah hati dengan memberikan teknologi terbarunya kepada pengeluar lain, atau Samsung telah mula bermain harga seperti Apple, dengan tidak meletakkan teknologi terbarunya di dalam telefon pintar keluaran mereka sendiri? Atau, pengeluar lain ini menjadi bahan ujian Samsung? Susah untuk mengatakannya.

Tetapi penulis sendiri agak kecewa dengan langkah Samsung yang telah membuang banyak fungsi penting di Galaxy Note 10. Ini mengurangkan jarak perbezaan antara telefon keluaran Samsung dengan pengeluar lain, sekaligus tiada lagi keunikan atau kelebihan di telefon Samsung. Lebih-lebih lagi dengan peningkatan mendadak pengeluar dari China seperti Huawei, Oppo dan Xiaomi.

Adakah langkah ini akan mengurangkan lagi penguasan pasaran Samsung memandangkan mereka tidak lagi menjadi yang pertama menggunakan teknologi terbaru dalam telefon keluaran sendiri? Apa pendapat anda, adakah ini baik atau tidak untuk Samsung.