fbpx

DxOMark label kamera Nokia 9 Pureview lebih rendah dari iPhone 7 Plus, Galaxy S7 Edge

Nokia 9 Pureview merupakan telefon pintar kelas flagship dan diperkenalkan kepada orang ramai pada awal tahun ini. Ia menampilkan 5 kamera belakang, menggandingkan 2 lensa RGB dan 3 lensa monokrom serta lensa ‘Time-of-Flight” atau ToF untuk mengesan kedalaman dengan jitu. Walaupun dengan kelebihan 5 kamera, DxOMark melabelkan Nokia 9 Pureview sebagai sebuah kamera yang biasa, tidak setanding telefon flagship masakini.

Dalam ujian kamera mudah alih DxOMark, mereka memberikan Nokia 9 Pureview markah sebanyak 85 mata sahaja. Ia lebih rendah dari markah yang diberikan kepada iPhone 7 Plus, Galaxy S7 edge serta Google Pixel yang dilancarkan pada tahun 2016.

Sebelum memerhati ulasan DxOMark, mari kita kenali kembali apakah itu Nokia 9 Pureview. Ia merupakan telefon pintar yang dikuasakan cip Snadpragon 845, bersama RAM 6GB dan storan dalaman 128GB. Skrinnya berukuran 5.99-inci beresolusi QuadHD+ dari jenis pOLED, tanpa takuk dan lubang di skrin.

5 kamera belakang semuanya 12MP F1.82 manakala kamera depannya satu lensa 20MP. Baterinya sebesar 3,320mAh dan menyokong pengecasan pantas melalui USB-C, serta menyokong pengecasan wayarles. Ia juga kalis air dan debu IP67.

Nokia menyatakan, kelima-lima kamera di belakang aktif sepanjang masa tangkapan gambar dibuat. Dengan 3 kamera monokrom, ia mampu merakam ketelitian yang tinggi sekaligus membolehkan zum digital kelihatan kekal tajam. Ini apa yang dikatakan Nokia.

Tetapi DxOMark menemui perkara yang berbeza. Nokia 9 Pureview mengambil gambar yang baik dalam suasana cerah, tetapi kurang menyerlah dalam suasana malap. Dalam perbezaan kontras yang tinggi, ia tidak dapat menunjukkan perbezaan gelap dan cerah dengan jelas. Ini membuatkan ia jauh ketinggalan berbanding telefon flagship seperti Huawei P30 Pro dan Galaxy S10+.

Berkata tentang ketelitian, Nokia 9 Pureview bertindak cemerlang dalam suasana cerah terutama di luar bangunan. Tetapi ia tidak dapat menunjukkan hasil yang sama untuk tangkapan dalam bangunan. Selain itu, ia juga memberi hasil yang kurang konsisten, apabila ruang di tengah gambar mengekalkan ketelitian yang tinggi tetapi tidak di bahagian sudut gambar.

BACA  Go-Jek Terima Lampu Hijau Kerajaan Malaysia, Servis Percubaan Akan Berjalan

Bahagian yang menerima markah tinggi ialah bokeh. Tetapi ia masih di bawah berbanding telefon flagship lain walaupun Nokia 9 Pureview dilangkapi lensa ToF.

Kelemahan paling ketara Nokia 9 Pureview ialah di bahagian zum. Ternyata penggunaan 3 kamera monokrom tidak dapat menyaingi lensa teleskop sebenar. Walaupun dalam suasana cerah, markah yang diperoleh untuk zum jauh ketinggalan, malah lebih rendah berbanding Pixel 3 yang tidak memiliki lensa teleskop. Ini menyatakan, pemproses imej Nokia 9 Pureview gagal menggunakan kelebihan 3 lensa monokrom untuk merakam ketelitian.

DxOMark juga menyatakan, keupayaan rakaman video Nokia 9 Pureview kurang cemerlang. Ia kerana rakaman video hanya menggunakan satu lensa RGB sahaja. Rakaman dalam suasana malapnya sangat lemah dan kualiti ketelitian dan ketajaman juga rendah. Tetapi ia memiliki kestabilan yang sangat baik.

Secara keseluruhan, Nokia 9 Pureview merupakan naik taraf dari model sebelumnya, Nokia 8 yang menerima 65 mata dari DxOMark, dan Nokia 8 Scirocco yang mendapat 84 mata. Tetapi ia langsung tidak dapat menandingi telefon flagship masakini seperti Huawei P30 Pro dan Galaxy S10+.

Dalam pengalaman kami menggunakannya semasa pelancaran awal tahun ini, kami juga menemui penggunaan aplikasi kameranya sangat teruk. Tetapi ia mungkin telah dikemaskini. Cuma ia tidka dijual di malaysia, jadi sukar untuk memberi komen terbaru. Semoga Nokia mempelajari lebih banyak tentang penghasilan kamera dan kembali sebagai memberi cabaran melalui barisan kamera Pureview mereka yang amat gah suatu masa dahulu.

Baca lebih lanjut tentang laporan DxOMark berkenaan kamera Nokia 9 Pureview di sini.

Sumber: DxOMark