Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKP dijangka tamat dalam

HARI

PKP dijangka ditamatkan pada 14 Apr, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Dua produk baru Realme telah disenarai di SIRIM pada penghujung 2019

Sebelum berakhirnya tahun 2019, dua produk Realme telah menerima pengesahan kebenaran dari SIRIM untuk digunakan di Malaysia. Pada bulan Disember lepas sahaja, Realme telah melancarkan telefon pintar Realme 5s serta Realme X2 Pro untuk pasaran Malaysia.

Dua produk baru Realme ini bukan telefon pintar semata-mata. Salah satu darinya merupakan produk audio dan satu lagi telefon pintar. Produk audio tersebut yang menerima pengesahan SIRIM pada 24 Disember 2019 membawakan nombor model RMA201 manakala telefon pintar pula disahkan pada 30 Disember 2019 dengan nombor model RMX2030.

Apabila diperiksa, RMA201 merujuk kepada fon kepala wayarles Realme Buds Air yang amat mirip dengan Apple Airpods. Manakala RMX2030 adalah telefon pintar Realme yang masih belum dilancarkan lagi di dunia, tetapi dikhabarkan merujuk kepada Realme 5i.

Realme Buds Air (RMA201)

Realme Buds Air adalah fon kepala TWS pertama dari Realme, dengan rekaan yang sangat serupa dengan Apple Airpods. Ia telah dilancarkan di India pada penghujung tahun lepas, dengan harga INR3,999 (~RM233) sahaja. Realme menghasilkannya dalam tiga warna iaitu putih, hitam dan kuning.

Menurut Realme, ia miliki hayat operasi selama 3 jam tetapi bekas penyimpannya boleh memanjangkan hayat kepada 17 jam waktu operasi. Fon kepala ini memiliki permukaan peka sentuhan yang boleh digunakan untuk kawalan seperti bermain atau hentikan muzik serta menyeru pembantu maya.

Menariknya, Realme Buds Air memiliki fungsi penyaring hingar, tetapi ia bukanlah dari jenis aktif. Realme menggelarkannya Environment Noise Cancellation dan hanya digunakan sewaktu anda lakukan panggilan telefon. Fon kepala ini juga menyokong pengecasan wayarles pada bekas penyimpannya, walaupun ia masih tidak memiliki telefon pintar yang menyokong pengecasan wayarles.

BACA  Dapatkan Wiko View4 Lite 64GB pada harga RM 337 di jualan kilat Lazada

Realme 5i (RMX2030)

Telefon pintar Realme 5 dan 5 Pro telah dilancarkan pada bulan Oktober 2019 dan Realme 5s pula dilancarkan pada Disember 2019. Kini ura-ura tentang ketibaan Realme 5i tiba dengan kemunculan model RMX2030 di SIRIM.

Realme Vietnam telah mengumumkan akan melancarkan Realme 5i pada 6 Januari 2020. Walaupun masih belum berkongsi sebarang maklumat teknikal, laman e-dagang FPT Shop telah pun menyenaraikan telefon tersebut bersama gambar dan spesifikasi penuhnya.

Dari rupa luar, ia nampak sangat serupa dengan Realme 5 dan Realme 5s. Terdapat empat kamera di belakang bersama pengimbas capjari fizikal. Tetapi kemasan belakang sedikit berbeza kerana Realme 5 menggunakan kemasan bercorak berlian, tetapi Realme 5i tidak. Di depan pula, skrinnya memiliki takuk kecil di atas untuk menempatkan kamera hadapan.

Menurut spesifikasi di FPT Shop, Realme 5i memiliki skrin berukuran 6.52-inci dengan resolusi HD+. Ia dikuasakan pemproses Snapdragon 665 bersama bateri besar 5,000mAh. FPT Shop hanya menyenaraikan satu versi Realme 5i, dengan RAM 4GB dan stora dalaman 64GB. Semua maklumat ini memang sama dengan Realme 5 dan Realme 5s.

Perbezaan Realme 5 dan Realme 5s ialah kamera. Begitu juga apa yang ditulis di FPT Shop. Realme 5i memiliki kamera belakang dengan kamera utama 12MP, sama seperti Realme 5 tetapi berbeza dengan Realme 5s menggunakan kamera utama 48MP. Tiga lagi kamera adalah sama iaitu kamera ultra lebar 8MP, kamera potret 2MP dan kamera makro 2MP. Perbezaan Realme 5i dan Realme 5 ialah pada kamera hadapan, iaitu kamera 8MP di Realme 5i berbanding 13MP di Realme 5 dan Realme 5s.

Terdapat dua warna Realme 5i yang ditawarkan di FPT Shop iaitu hijau dan biru. Harganya pula VND4,290,00 (~RM755) dengan RAM 4GB dan storan 64GB. Ia mungkin berharga lebih rendah di Malaysia memandangkan harga Realme 5 dengan RAM 4GB dan storan 128GB baru RM649 dan Realme 5s pula RM799.

BACA  Realme 6 dilancarkan di Malaysia dengan harga lebih tinggi

Semoga Realme Malaysia akan membuat pengumuman rasmi tentang ketibaan Realme Buds Air dan Realme 5i tidak lama lagi.

Sumber: GSMArena, FPT Shop