Mi 10 guna perkakas flagship terkini: Snapdragon 865, LPDDR5 dan UFS3.0

Xiaom sebelum ini telah mengumumkan akan melancarkan telefon pintar terbaru mereka, Mi 10 di Barcelona, Sepanyol pada 23 Februari 2020. Bagaimanapun, ia akan dilancarkan di China lebih awal, dijadualkan pada 13 Februari 2020.

Pengerusi dan pengasas bersama Xiaomi, Lei Jun telah berkongsi beberapa perkara yang akan ada di Mi 10 menerusi akaun media sosialnya.

Dalam perkongsian tersebut, Lei Jun menerangkan bahawa Mi 10 adalah peranti yang menyokong rangkaian 5G dan dikuasakan pemproses Snapdragon 865. Ia akan menggunakan perkakas berprestasi tinggi seperti RAM LPDDR5, storan UFS3.0 dan juga WiFi 6.

Di bahagian kamera, Mi 10 akan dilengkapi empat kamera di belakang dalam susunan menegak. Kamera tersebut ialah kamera utama 108MP dengan sensor imej berukuran 1/1.33″. Kamera utama ini memiliki penstabil imej optikal (OIS) dan elektronik (EIS). Ia juga boleh merakam video dalam format sinematik 2.35:1, swafoto gerak perlahan 120fps dan menyokong format HEIF.

Dari segi rupa, ia amat menyerupai Mi Note 10 dengan skrin melengkung di sisi. Tetapi kamera hadapannya berbeza kerana Mi 10 akan menggunakan lubang di skrin berbanding takuk. Susunan kamera belakang menjadikan rupanya hampir sama tetapi Mi 10 memiliki hanya empat kamera, berbanding lima di Mi Note 10.

Bagi sistem penyejukan, Mi 10 akan menggunakan kebuk wap (vapour chamber) yang lebih besar bagi meningkatkan lagi pembebasan haba. Dari gambar yang dikongsikan, ia kelihatan sangat besar sehingga meliputi bahagian bateri.

Seperti biasa, Xiaomi akan memuatkan sebanyak mungkin perkakas kelas flagship ke dalam siri Mi terbaru mereka. Ia menggabungkan pemproses, RAM dan storan terbaik di pasaran. Tetapi harganya mungkin meningkat kali ini.

BACA  Redmi 9 dan Redmi Note 9 akan datang bulan ini?

Lei Jun menambah, Xiaomi akan melengkapkan Mi 10 dengan RAM sekurang-kurangnya 8GB, tiada lagi 6GB. Ditambah dengan RAM LPDDR5 serba baru, ini boleh memberi kesan kepada harga Mi 10 kelak.

Untuk perbandingan, Mi 9 dilancarkan tahun lepas di Malaysia dengan harga RM1,699 (RAM 6GB + storan 64GB) dan RM1,999 (RAM 6GB + storan 128GB). Mi Note 10 yang menggunakan kuasa Snapdragon 730G dan kamera 108MP, dijual pada harga RM2,099 (RAM 6GB + storan 128GB), manakala Mi Note 10 Pro pula berharga RM2,499 (RAM 8GB + Storan 256GB).

Lebih banyak perkara berkenaan Mi 10 akan diketahui di majlis pelancarannya pada 13 Februari. Kita tunggu dan lihat apa lagi kejutan yang akan Mi 10 berikan.

Sumber: Lei Jun