Mi 11 akan dilancar di pentas antarabangsa bulan hadapan

Xiaomi kini mengumumkan bahawa mereka akan meancarkan telefon flagship terbaru, Mi 11 di pentas antarabangsa tidak lama lagi. Telefon pintar yang dikuasakan cip terbaik Qualcomm, Snapdragon 888, telah dilancarkan di China pada hujung tahun lepas.

Majlis pelancaran antarabangsa Mi 11 akan diadakan pada 8 Februari 2021, bermula pukul 8 malam waktu Malaysia. Acara ini akan disiarkan secara maya menerusi akaun Facebook Xiaomi dan saluran YouTube Xiaomi.

Dengan pelancaran di peringkat antarabangsa, ini menandakan peluang ia akan dijual di Malaysia sangat cerah. Malah, ia telah pun mendapat pengesahan SIRIM. Tetapi persoalan utamanya, adakah Xiaomi akan kekal tidak memberikan kepala pengecas di dalam kotak, sama seperti Mi 11 yang dilancar di China?

Spesifikasi

Mi 11 yang telah dilancarkan di China menampilkan skrin lengkung AMOLED dengan resolusi super tinggi Quad HD 3200×1440. Ia juga memiliki kadar penyegaran tinggi 120hz dengan kadar sentuhan sehingga 480Hz. Pengimbas capjari terdapat di dalam skrin, dan ia turut boleh digunakan untuk mengimbas denyutan nadi.

Di dalam, prestasi tinggi Mi 11 digerakkan oleh pemproses Snapdragon 888 5nm, digandingkan bersama RAM LPDDR5 sehingga 12GB dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 256GB. Telefon ini juga memiliki pembesar suara stereo yang ditala oleh pakar audio, Harman Kardon.

Untuk kamera, terdapat tiga di belakang iaitu kamera utama 108MP, kamera ultra lebar 13MP dan kamera makro 5MP. Tiada kamera telefoto. Kamera hadapannya pula 20MP, terletak di dalam lubang kecil di sudut atas skrin.

Tenaga peranti ini diperoleh dari bateri berkapasiti 4,600mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 55W melalui USB-C. Mi 11 turut menyokong pengecasan wayarles sehingga 50W dan pengecasan wayarles terbalik 10W.

Di China, Mi 11 dijual bermula dari CNY 3,999 (~RM2,507) dengan RAM 8GB dan storan 128GB, sehingga spesifikasi tertinggi berharga CNY 4,699 (~RM2,946) dengan RAM 12GB dan storan 256GB. Melihatkan kekurangan pada kameranya, kita mungkin dapat melihat versi Pro yang memiliki kamera telefoto di kemudian hari.

Mi 11 masih ada Google

Baru-baru ini, bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sempat meluluskan sekatan perdagangan terhadap Xiaomi, sebelum meletakkan jawatan. Bagaimanapun, Xiaomi memaklumkan bahawa Mi 11 masih memiliki perkhidmatan Google di dalamnya, antaranya Google Playstore.

Selain itu, walaupun tiada lagi kepala pengecas di dalam kotak, Xiaomi melancarkan Mi 11 di China dengan pilihan kepala pengecas berasingan diberikan secara percuma. Kepala pengecas GaN 55W ini jika dibeli, berharga CNY 99 (~RM62). Di Malaysia, pengecas GaN 65W dijual pada harga RM119.

Adakah Mi 11 antarabangsa akan berbuat begini, atau sekurang-kurangnya di Malaysia? Kita nantikan di majlis pelancarannya nanti.

[Sumber: Xiaomi]

Bacaan Berkaitan