Adakah YB Khairy pakai jam tangan Garmin Fenix 6 semasa divaksin?

Antara persoalan yang gemar kami laporkan untuk pembaca adalah, peranti apakah yang digunakan oleh pemerintah di Malaysia, contohnya telefon yang tersimpan di poket baju Agong semasa majlis angkat sumpah Perdana Menteri ke-7, telefon yang dimiliki bekas Menteri Kewangan Lim Guang Eng, iPhone yang digunakan oleh Perdana Menteri ke-8, serta tablet yang digunakan Menteri Kewangan semasa membentang Belanjawan 2021. Ia bukanlah maklumat penting tetapi perkara yang menarik untuk diperhatikan oleh peminat peranti terbaru.

Kini kita mahu meneliti pula sebuah gajet yang digunakan oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sewaktu menjadi orang pertama di Malaysia menerima suntikan vaksin Sinovac. Beliau menerima suntikan vaksin ini di Hospital Rembau dan pasukan SoyaCincau melihat perkara yang menarik di pergelangan tangan beliau.

Jika diteliti dengan lebih dekat, YB Khairy dilihat memakai jam pintar Garmin di pergelangan tangan kanannya. Ia kelihatan seperti model Fenix, yang direka khas untuk kegunaan peminat sukan dan kecergasan.

Siri Garmin Fenix adalah jam pintar yang berbeza dari jam pintar baru yang anda biasa lihat, seperti Apple Watch Series 6 atau Samsung Galaxy Watch 3. Ini kerana Garmin Fenix tidak menggunakan skrin OLED yang lebih cantik menawan paparannya, tetapi dilengkapi skrin transflektif Memory-in-Pixel (MiP). Ia memberikan skrin yang lebih jelas dilihat di bawah cahaya matahari, dan lebih penting lagi memberikan hayat bateri yang jauh lebih panjang berbanding skrin OLED.

Selain itu, jam pintar Garmin Fenix memiliki lebih banyak ciri-ciri kecergasan, antaranya bacaan Garmin Body Metric yang menjadi standard digemari ramai peminat kecergasan. Selain itu, ia juga memiliki bingkai titanium dan kalis air sehingga 10 ATM, bermakna ia boleh dibawa ketika mandi dan berenang. Malah, ia juga diiktiraf untuk kegunaan menyelam, snorkeling dan sukan air berkelajuan tinggi.

Tetapi sila ambil perhatian, ini bukanlah perkara rasmi yang pernah diberitahu sendiri oleh YB Khairy. Ia hanyalah agakan kami berdasarkan gambar berkualiti rendah dan video yang terdapat di internet. Sebelum ini, YB Khairy pernah menyatakan lama dahulu bahawa beliau pernah menggunakan Garmin Fenix 2 untuk merekod kecergasan pada tahun 2014.

Jika anda berminat untuk memiliki jam Garmin Fenix, perlu diingatkan bahawa ia bukanlah jam yang murah. Bagi model Fenix 6 Pro Solar misalnya, ia dilancarkan berharga RM4,199. Tetapi masih ada jam Garmin lain yang lebih murah darinya, seperti siri ForeRunner dan Siri Venu.

[Sumber: SoyaCincau]

Bacaan Berkaitan