Perkembangan vaksin COVID-19 Malaysia #2: Suntikan fasa 2 mulai April & hospital swasta jual vaksin

Antara isu yang diketengahkan dalam video kali ini ialah bilakah warga emas akan diberi vaksin di Malaysia? bolehkah individu membayar vaksinasi di hospital swasta? Betulkah suntikan fasa 3 vaksin akan mula awal? dan banyak lagi sudut lain untuk dikupaskan.

1. Jumlah penerima vaksin Fasa 1 meningkat

Program Imunisasi Nasional fasa 1 pada asalnya mensasarkan pemberian vaksin kepada 500,175 individu, tetapi sekarang ia telah diperluas sehingga merangkumi jumlah 647,398 individu.

Setakat 28 Mac 2021, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengatakan bahawa 90% daripada 500,175 barisan hadapan yang disasarkan asal telah menerima sekurang-kurangnya 1 suntikan vaksin.

2. Warga emas dan penghidap penyakit kronik terima vaksin bermula 19 April

Individu yang layak menerima suntikan bagi program imunisasi fasa 2 akan mula menerimanya pada 19 April 2021. Kelayakan akan diberitahu pada 5 April melalui MySejahtera, panggilan telefon atau SMS.

Suntikan fasa 2 dijadualkan berlangsung dari April hingga Ogos 2021. Penerima yang layak akan diberitahu sekurang-kurangnya dua minggu sebelum temujanji mereka. Berita lanjut di sini.

3. Suntikan fasa 3 mungkin mula awal

YB Khairy Jamaludin telah memberitahu bahawa Fasa 3 suntikan yang dirancang bermula pada bulan Mei dapat dimulakan lebih awal kepada mereka yang telah mendaftar. Namun, keutamaan tetap diberikan kepada individu yang berada di bawah Fasa 2.

Fasa 3 merangkumi semua individu dewasa berumur 18 tahun ke atas, warganegara dan bukan warganegara.

4. Vaksin akan ditawarkan di pasaran swasta

Selain vaksin percuma yang ditawarkan oleh kerajaan, pihak hospital swasta juga dibenarkan untuk mendapatkan vaksin mereka sendiri untuk ditawarkan di pasaran terbuka. Ini akan membolehkan individu membayar vaksinasi di hospital swasta pilihan mereka.

Namun, Khairy Jamaluddin mengatakan bahawa vaksinasi melalui sektor swasta memerlukan sedikit masa, kerana mereka akan mendapat vaksin paling awal adalah pada suku ketiga atau keempat tahun ini. Berita lanjut di sini.

5. Vaksinasi dan pendaftaran

Setakat 30 Mac jam 11.59 malam, sejumlah 661,661 dos vaksin sudah diberikan dan 188,385 individu telah menyelesaikan vaksinasi mereka dengan 2 dos. Sarawak masih mendahului dengan vaksinasi paling lengkap dengan 24,535 individu.

Dari segi pendaftaran, lebih daripada 7.4 juta individu telah mendaftar untuk vaksin yang merupakan 30% daripada populasi yang disasarkan. Sabah masih mempunyai kadar pendaftaran terendah hanya 11.49%, diikuti oleh Kelantan pada 17.89%.