Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 14 Apr, 2021

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Isu kabotaj: Ini 3 soalan yang kami ajukan kepada Dr. Wee Ka Siong

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong telah memetik satu laporan daripada laman berbahasa Inggeris kami berkaitan isu kabotaj. Artikel tentang isu itu juga telah kami garap dalam bahasa Melayu.

Kalau anda terlepas berita, asasnya ada satu organisasi bernama Malaysia Internet Exchange (MyIX) telah mengeluarkan kenyataan yang menyarankan kerajaan Malaysia mempertimbangkan semula keputusannya memansuhkan pengecualian kabotaj terhadap kapal yang digunakan untuk penyelenggaraan kabel dasar laut.

Hal ini kerana, mereka melihat projek kabel dasar launt Echo dan Bifrost yang tidak mendarat di Malaysia sebaliknya hanya ke Singapura dan Indonesia adalah satu kerugian terhadap kita.

Siapa MyIX?

Ia adalah satu inisiatif yang digerakkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). Ini adalah badan bebas yang menguruskan Internet Exchange dalam Malaysia. Salah satu tugas mereka adalah menguruskan trafik Internet negara bagi pihak ISP supaya berada dalam keadaan optimum.

Organisasi ini dikepalai entiti-entiti utama ISP negara seprti TIME dotcom, Maxys, YTL Communication, MyKris Asia, Celcom Axiata, Redtone, TT dotcom, dan Telekom Malaysia.

Berbalik kepada pemansuhan kabotaj, ini bukanlah kali pertama MyIX menyuarakan pendapat sedemikian. Dalam bulan November 2020 lalu, sewaktu kerajaan mengumumkan pemansuhan tersebut, mereka bersama-sama Facebook, Google, Microsoft, dan MyIX telah mengeluarkan satu kenyataan bersama.

Dr. Wee Ka Siong tak puas hati

Kami cuma melaporkan kenyataan media MyIX namun, telah dituduh sebagai sumber yang meragukan. Ada banyak lagi outlet media yang laporkan perkara sama dan semuanya berdasarkan kenyataan media, yang sama.

Dalam utusan di Facebook, dia nyatakan yang dua projek kabel dasar laut itu memang dirancang tanpa mendarat di Malaysia, dengan atau tanpa kabotaj. Alasannya ialah di Singapura, Facebook miliki pengkalan data di Tanjong Kling Data Center Park dan Malaysia tidak miliki cukup infrastruktur.

Dakwaan itu tidak benar kerana menurut satu kajian pasaran, servis pengkalan data akan menumbang lebih USD 800 juta sebelum 2025. Malaysia miliki kelebihan berbanding Singapura kerana republik itu ketandusan tanah untuk pembangunan pengkalan data.

Malahan, pengerusi MDEC sendiri, Dr. Rais Hussin menyarankan agar Dr. Wee buat “kerja rumah” dahulu sebelum bercakap tentang pengkalan data.

Kalau Malaysia tiada infrastruktur, kenapa konglomerat Keppel Data Centres daripada Singapura mahu buka pengkalan data baru di Johor dan mereka sudahpun ada pengkalan data di Cyberjaya? Telekom Malaysia juga telah buka pengkalan data Klang Valley Core Data Center (KVDC) di Cyberjaya dalam bulan Mei 2019 kalau itu masih belum cukup meyakinkan.

Dalam zaman PH jugalah Malaysia mulakan inisiatif kearah 5G apabila semasa di bawah teraju YB Gobind Singh, banyak telco lakukan ujian 5G. Namun, selepas perubahaan kerajaan, projek 5G dihentikan dan fokus dialihkan pada pelan JENDELA, iaitu pelan penambahbaikkan rangkaian 4G sedia ada.

Kemudian, dia juga sempat menyerang kerajaan terdahulu. Dikatanya Pakatan Harapan (PH) yang meneraju Malaysia antara Mei 2018 hingga Februari 2020 habiskan masa untuk projek kereta terbang berbanding projek Revolusi Industri (OR4.0) seperti pengkalan data.

Agaknya, dia terlupa yang Menteri “kereta terbang” ialah rakan sekerjanya sekarang. YB Mohd Redzuan Md Yusof, kini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Tugas-Tugas Khas di bawah Perikatan Nasional.

Dr. Wee juga menggunakan nama Indonesia untuk menjustifikasikan tindakannya dalam isu kabotaj di Malaysia. Di menyatakan yang Indonesia baru sahaja memperketatkan dasar kabotaj. Namun, dalam artikel yang dirujuknya, tiada satupun perkataan kabotaj disebut.

Yang ada cumalah Indonesia ingin memperkemas kawal selia sistem perpaipan dan pengkabelan dasarlaut termasuklah daripada segi kedaulatan. Kenapa dia begitu pasti yang Indonesia memperketatkan kabotaj?

Isu sebenar yang lebih besar masih tidak dijawab

Dr. Wee hanya menyentuh tentang isu kabotaj dan industri perkapalan, tanpa memberi penjelasan kepada isu yang lebih utama iaitu landskap pelaburan kabel dasar laut negara.

Berikut adalah 3 soalah yang kami ajukan pada Dr. Wee untuk dijawab

1. Sudahkah Kementerian Pengangkutan menyuraikan kebimbangan pelabur gergasi dalam indsutri teknologi?

Seperti yang diceritan di awal artikel ini, Facebook, Google, Microsoft, dan MyIX telah menghantar memo bersama kepada PM Muhyiddin Yassing tentang isu kabotaj. Dalam memo tersebut, ia menjelaskan yang kabotaj akan menyebabkan kelewatan pada kerja pembaikkan kabel dasar laut dan seterusnya beri kesan terhadap kestabilan servis Internet negara.

MDEC turut menyuaran kebimbangan terhadap kesan kabotaj menyebabkan peluang pelaburan terlepas ke tangan Thailand ataupun Singapura.

Thailand sudahpun menghamparkan sambungan Internet daripada Satun ke Songhla bagi memintas laluan Selat Melaka bagi trafik Internet dan telah jimatkan kira-kira 1,200km kabel. Singapura pula ialah hub ASEAN untuk pendaratan kabel dasar laut.

Selagi kerajaan tidak menilai semula polisi yang sedang dikuatkuasakan, landskap Internet negara pastinya akan terjejas.

Kalau Kementerian Pengangkutan sudah selesai kemelut tersebut, kenapa gergasi teknologi perlu mendapatkan bantuan Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi?

2. Adakah Malaysia miliki kapal penyelengaraan kabel dasar laut yang diperlukan

Objektif pengecualian kabotaj terhadap kapal asing yang lakukan penyelenggaraan kabel dasar laut adalah kerana Malaysia tidak miliki kelengkapan yang cukup.

Kita tidak ada kapal yang dilengkapi sistem navigasi DP2 untuk tujuan selengggara laut dalam. Yang kita ada ialah sebuah tongkang yang perlu ditunda oleh kapal lain untuk diposisikan ke lokasi tugasan.

DP2 merujuk pada sistem yang membuatkan kapal terapung di titik GPS tertentu dengan bantuan penujah khas. Ia penting untuk laut bergelora dan dalam dan ia juga diperlukan sekiranya kapal itu ingin diinsuranskan.

3. Bagaimana Malaysia mampu tarik lebih banyak pendaratan kabel dasar laut antarabangsa?

Lebih banyak kabel dasar laut mendarat di sini, lebih baik kualiti Internet yang akan dinikmati penduduknya. Di bawah pelan MyDigital, Malaysia ingin miliki frekuensi pendaratan kabel antarabangsa terbanyak di Asia Tenggara.

Masalahnya, mampukah kita capainya jika setakat ini kita cuma lihat pendaratan dilakukan di negara-negara jiran kita mungkin disebabkan polisi yang tak masuk akal seperti kabotaj ini?

Tahukah anda yang MyDigital dijangka akan menyumbang kepada 22.6% GDP negara serta wujudkan sekitar 500 ribu pekerjaan?

Sembang dengan kami

Di SoyaCincau, kami uraikan isu-isu penting dalam dunia teknologi daripada telefon, telco, hinggalah kepada isu kepenggunaan dan polisi. Tanpa bias, kami laporkan apa sahaja asalkan ianya benar, termasuklah isu kabotaj ini.

Kami menjemput Dr. Wee Ka Siong untuk berikan pencerahan kepada pembaca kami dan seluruh penduduk Malaysia tentang isu ini dalam program bual bicara Let’s Talk About.

Let’s Talk About boleh ditonton dan didengari di YouTube dan pelbagai platform podcast.