Syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines (MAS), akan mula menerima pesawat Boeing 737-8 yang ditempah sebelum ini menerusi pelan modernisasi armada Malaysia Aviation Group (MAG). Salah satu daripada 25 tempahan pesawat Boeing 737-8 dijadualkan akan mula dihantar pada bulan Ogos 2023.
Pesawat baru ini akan menampilkan rekaan ekor yang diperbaharui, menggunakan logo Wau yang menjadi ikon MAS dan disulami dengan motif Songket berbenang emas. Menurut MAS, rupa baharu ini melambangkan usaha syarikat penerbangan tersebut untuk maju ke hadapan dengan penuh tenaga dan sikap optimis, serta logo baharu tersebut sebagai penghormatan kepada budaya Malaysia yang kaya, melambangkan komitmen tidak berbelah bahagi MAS untuk mewakili negara dengan bangga dan bersemangat progresif.
CEO MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, “Kami sangat teruja untuk mempersembahkan kepada penumpang kami dengan perjalanan yang benar-benar mengasyikkan dan tidak dapat dilupakan, yang mempamerkan kebanggaan negara dan komitmen kami untuk menyampaikan pengalaman perjalanan yang luar biasa. Pengenalan pesawat 737-8 baharu kami pada Ogos 2023, menetapkan standard baharu dalam perjalanan udara, menggabungkan budaya terbaik Malaysia, teknologi canggih dan amalan mampan untuk mencipta pengalaman penerbangan yang tiada tandingannya.”
Tambahnya, “Setiap aspek reka bentuk kabin telah dibangunkan dengan teliti untuk meningkatkan keselesaan penumpang. Upholsteri tempat duduk menampilkan motif songket timbul, mempamerkan corak rumit dan warna-warna cerah tekstil tradisional Malaysia. Perincian artistik ini bukan sahaja menambah daya tarikan estetik tetapi juga memberi penghormatan kepada budaya Malaysia yang kaya, membolehkan penumpang menyelami warisan negara sebaik mereka melangkah ke dalam pesawat.”
“Gabungan harmoni warna biru dan motif songket mencipta suasana kabin yang menawan secara visual yang mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan perjalanan yang benar-benar mengasyikkan. Sama ada penumpang duduk di tempat duduk mereka atau bergerak di dalam pesawat, mereka akan dikelilingi oleh suasana yang memancarkan ketenangan, keanggunan dan penghargaan yang mendalam terhadap lapisan budaya Malaysia,” kata Ahmad Luqman.
Pesawat baru Beoing 737-8 MAS dengan nomobr pendaftaran 9M-MVA pertama kali dikesan awal bulan ini di kilang Boeing Renton yang terletak di Amerika Syarikat. Sebelum ini, MAS telah menempah 25 pesawat pada tahun 2016. Awal tahun ini, MAS menstrukturkan semula tempahan dan memajak 25 pesawat daripada Air Lease Corp.
Dikenali sebagai Boeing 737 Max 8 sebelum ini, ia telah menerima kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awal Malaysia (CAAM) untuk beroperasi di Malaysia. Malah ia juga telah digunakan oleh Singapore Airlines dan Batik Air.
Bacaan Berkaitan
- Pesawat Boeing 737 Max dibenarkan terbang selepas 2 tahun diharamkan
- Hanya 5 syarikat terlibat dalam pemberian subsidi RM300 tiket penerbangan untuk pelajar IPTA
- Tidak perlu lagi matikan telefon waktu berlepas dan mendarat dengan Malaysia Airlines
- Malaysia Airlines mahu benarkan pramugari pakai tudung dan seragam selain kebaya?
- Pesawat MAS 737-800 NG diperbaharui, skrin IFE dibuang dan kerusi ditukar lebih nipis