Selepas membuat debut di pasaran global pada Ogos lalu, CMF by Nothing kini membawakan dua produk audio terbaharu mereka CMF Clip Pro dan CMF Buds Neo ke pasaran Malaysia secara rasmi.
CMF Clip Pro merupakan fon telinga jenis terbuka pertama daripada jenama tersebut yang menyokong Hi-Res Audio menerusi codec LDAC. Manakala CMF Buds Neo pula hadir sebagai fon putik konvensional yang lebih mampu milik dengan sokongan penyaring hingar aktif (ANC)
Harga dan ketersediaan CMF Clip Pro dan Buds Neo

Berikut adalah harga jualan rasmi bagi kedua-dua produk audio ini di pasaran tempatan:
- CMF Clip Pro – RM359
- CMF Buds Neo – RM129
Kedua-dua produk boleh didapatkan di Malaysia sekarang secara dalam talian menerusi Lazada, Shopee, TikTok Shop, serta di kedai fizikal Nothing Image Store dan pengedar sah Nothing seperti TMT dan Urban Republic.
CMF Clip Pro turut tersedia didapatkan melalui nothing.tech.

Anda boleh dapatkan CMF Clip pro dalam tiga warna iaitu putih, oren dan hitam. Manakala, CMF Buds Neo pula dalam warna putih, biru dan hitam.
Spesifikasi CMF Clip Pro

Clip Pro adalah fon telinga terbuka, menggunakan reka bentuk 3-point Clip yang mengagihkan tekanan secara seimbang pada telinga, supaya lebih selesa dipakai. Kedua-dua unit fon telinga disambungkan dengan wayar titanium fleksibel 0.5mm, manakala bahagian yang bersentuhan dengan telinga diperbuat daripada TPU lembut. Ia juga mempunyai penarafan kalis percikan air IP54.
Bunyinya dihasilkan oleh pemandu dinamik dwimagnet 10.8mm. Teknologi Ultra Bass dengan tiga tahap turut disertakan untuk menambah bass, yang selalunya lemah pada fon telinga terbuka. Clip Pro juga menyokong static Spatial Audio, dan mod Private Listening untuk mengurangkan bunyi yang bocor kepada orang sekeliling.

Clip Pro menyokong Hi-Res Audio dengan LDAC melalui Bluetooth 5.4, selain codec AAC dan SBC. Pengalaman mendengar juga boleh disesuaikan dengan lima pilihan EQ berbeza mahupun EQ tersuai menerusi aplikasi Nothing X. Menariknya, bekas pengecas Clip Pro turut dilengkapi butang pemutar fizikal bagi memudahkan pengguna mengawal kelantangan bunyi, menukar lagu, menjawab panggilan, dan membuat sambungan peranti.

Bagi panggilan, terdapat empat mikrofon dengan Clear Voice technology untuk mengasingkan bunyi latar untuk panggilan yang lebih jelas. Baterinya pula mampu bertahan sehingga 10 jam pada fon putik dan sehingga 32.5 jam bersama bekas pengecas, berserta sokongan pengecasan pantas 10 minit untuk penggunaan selama 4 jam.
CMF Buds Neo

Bagi CMF Buds Neo, ia adalah fon putik mampu milik yang mengekalkan gaya CMF. Bekasnya berbentuk segi empat dengan bucu bulat dengan warna dwitona, serta dilengkapi butang fizikal untuk kawalan.
Dari segi audio, Buds Neo dilengkapi dengan ppemandu dinamik 12.4mm dengan diafragma PET bersalut titanium. ANC adaptif yang disokong mampu menyingkirkan bunyi luar sehingga 35dB. Buds Neo juga menyokong static Spatial Audio, sambungan dua peranti serentak, serta codec AAC dan SBC melalui Bluetooth 6.0.

Terdapat EQ tersuai dengan dua tahap Bass Enhancement. Untuk panggilan, sama seperti model Clip Pro, ia dilengkapi empat mikrofon HD dengan teknologi Clear Voice untuk panggilan yang lebih jelas.
Bagi hayat bateri, fon putik boleh bertahan sehingga 11 jam dalam satu cas penuh atau sehingga 30 jam dengan bekas pengecas apabila ANC diaktifkan. Jika mod ANC diaktifkan, hayat baterinya menyokong penggunaan sehingga 30 jam bersama bekas pengecas. Pengecasan pantas 10 minit dikatakan boleh memberikan masa dengan lagu 5.5 jam.






