Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook baru sahaja mengumumkan satu kenyataan berkenaan perubahan unjuran keuntungan Apple untuk suku pertama (Q1) tahun 2019. Ringkasnya, Apple dilihat akan memiliki keuntungan Q1 lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, pertama kali sejak tahun 2008.
Ini sedikit sebanyak, mengesahkan jualan telefon pintar iPhone XS tidak seperti yang diharapkan walau selepas Hari Natal dan Tahun Baru.
Tahun lepas, Apple mencatatkan keuntungan sebanyak USD88.3 bilion pada Q1 2018. Tetapi menjelang awal tahun ini, Apple merubah jangkaan keuntungan mereka pada Q1 2019 dari USD93 bilion kepada USD84 bilion, kesan dari jualan iPhone yang lemah.
Walau begitu, Apple masih mencatat rekod keuntungan lebih tinggi di beberapa pasaran. Salah satu darinya ialah pasaran Malaysia. Tim Cook mejelaskannya dalam surat beliau kepada para pelabur seperti berikut:
We also expect to set all-time revenue records in several developed countries, including the United States, Canada, Germany, Italy, Spain, the Netherlands and Korea. And, while we saw challenges in some emerging markets, others set records, including Mexico, Poland, Malaysia and Vietnam.
Tetapi maklumat tepat tentang keuntungan Apple di Malaysia tidak dapat diteliti, kerena laporan keuntungan mereka dipecahkan mengikut kawasan seperti Amerika, Eropah, China, Jepun dan Asia Pasifik.
Kejayaan Apple memperoleh lebih keuntungan di Asia Pasifik terutamanya, dilihat disumbangkan oleh jualan akhir tahun seperti jualan 11.11 serta jualan 12.12 yang sangat popular di Malaysia. Malah, banyak pekedai menjual iPhone pada harga lebih murah. iPhone X misalnya, boleh dibeli dari serendah RM3,399.
Bagaimanapun, keuntungan lebih besar tidak bermaksud unit jualan yang lebih banyak. Malah, Apple sendiri telah berhenti mengumumkan unit jualan produk mereka bermula Q1 2019. Ia bagai sebuah petunjuk di mana Apple melihat jualan mereka merudum tetapi masih mahu menegaskan tentang keuntungan yang diperolehi.
Kita dapat lihat sendiri di mana Apple telah menaikkan harga hampir semua produk mereka. iPhone X semasa dilancarkan pada 2017, adalah telefon pintar Apple paling mahal di mana ia mencecah harga RM5,899 untuk model 256GB.
Tahun lepas, rekod harga termahal iPhone dipecahkan oleh iPhone XS Max dengan harga rasmi setinggi RM7,049 bagi model 512GB. Manakala iPhone XR yang merupakan iPhone baru termurah, bermula dengan harga RM3,599.
Selain iPhone, Apple turut menaikkan harga produk lain mereka. iPad Pro 2018 misalnya, harganya bermula dari RM3,499 sehingga setinggi RM8,199 untuk model selular dengan 1TB storan. Ini belum termasuk Apple Pencil 2 dan Smart Keyboard yang juga lebih mahal dari generasi sebelumnya.
Macbook Air yang merupakan laptop Apple untuk kelas permulaan, dijual dengan harga bermula dari RM5,249. Ia adalah laptop yang dikuasakan cip Intel Core-i5 (i5-8210Y) dengan RAM 8GB dan storan dalaman 128GB.
Dengan harga produk yang lebih mahal dan margin keuntungan lebih tinggi, tidak pelik jika Apple masih boleh memperoleh keuntungan lebih banyak walaupun jualan unit mereka berkurangan. Adakah pengguna di Malaysia, masih ramai yang berkemampuan memiliki produk Apple walau harganya makin meningkat saban tahun?