Sebelum ini, Razer mengatakan bahawa pelitup mukanya iaitu Razer Zephyr menggunakan penapis gred N95 kerana ia ada kecekapan penapisan bakteria (BFE) sebanyak 99%. Walaupun Razer mendakwa ujian menunjukkan penapisnya melepasi 95% kecekapan penapisan zarah (PFE), tetapi untuk menggelar penapis itu sebagai N95, sebenarnya keseluruhan pelitup muka itu perlu mampu menyekat 95% zarah kecil. Ia juga mesti disahkan oleh pengawal selia. Adakah ini bermakna, Razer memberi dakwaan berlebihan terhadap pelitup mukanya selama ini?
Melalui satu Tweet, Razer menulis bahawa mereka telah mengambil maklum balas dan panduan daripada agensi kawal selia, untuk mewujudkan protokol ujian bagi Razer Zephyr dan Razer Zephyr Pro. Tambahnya, Razer Zephyr dan Zephyr Pro bukanlah peranti perubatan, alat pernafasan, topeng pembedahan atau peralatan pelindung diri (PPE) dan ia bukan untuk kegunaan perubatan atau klinikal.
*The Razer Zephyr and Zephyr Pro are not medical devices, respirators, surgical masks, or personal protective equipment (PPE) and are not meant to be used in medical or clinical settings.
— R Λ Z Ξ R (@Razer) January 8, 2022
Melalui satu penulisan yang dikemaskini pada 10 Januari bertajuk The Science Behind Razer Zephyr, Razer menyatakan bahawa Zephyr dan Zephyr Pro bukan pelitup muka N95 yang disahkan. Setiap perkataan N95 yang ditemui dalam artikel sebelum kemaskini telah dialihkan. Razer juga ada kongsikan keputusan setiap ujian yang dilakukan kepada Zephyr pada halaman itu.
Walaupun Zephyr telah melalui beberapa ujian dalaman, ia masih memerlukan semakan luaran daripada agensi pakar sebelum orang ramai boleh berasa yakin bahawa ia telah melalui penilaian yang ketat.
Spesifikasi Razer Zephyr dan Zephyr Pro
Ryzer Zephyr mempunyai perlindungan dua hala yang boleh diganti. Penapis tersebut disarankan untuk ditukar setiap 3 hari dengan penggunaan 8 jam sehari bagi tujuan kebersihan yang optimum. Disertakan juga sistem penapisan udara aktif dua kipas. Ia direka dengan lampu RGB pada bahagian luar. Permukaannya telus cahaya, mudah untuk individu melihat mulut pemakai ketika bercakap. Ia boleh digunakan sehingga 8 jam tanpa kuasa lampu dan 5.5 jam dengan lampu menyala.
Untuk versi Pro pula, ia kelihatan sama dengan Zephyr tetapi ia didatangkan dengan dua jeriji pembesar suara yang mengapit bahagian bawah pelitup muka. Ia akan meningkatkan kekuatan suara pemakai supaya boleh didengar oleh individu lain dengan lebih jelas.
Di samping itu, LG PuriCare Wearable Air Purifier merupakan alternatif kepada pelitup muka Razer Zephyr, tanpa ada dakwaan berlebihan bahawa pelitup muka ini seperti PPE (alat pelindung diri). LG PuriCare menggabungkan dua penapis HEPA H13, sama seperti yang terdapat dalam pembersih udara premium di rumah. Terdapat 2 kipas kecil di dalamnya, ada mikrofon dan juga pembesar suara.
[Sumber: TheVerge]
Bacaan Berkaitan
- Pelitup muka Razer Zephyr habis terjual, perlu tunggu untuk membeli
- Razer sah akan jual topeng mukanya hujung tahun ini dengan kuantiti terhad
- Topeng muka elektronik N95 Razer akan dijual, direka dengan mikrofon di dalam
- Razer reka topeng muka N95 elektronik, tampil bergaya dengan lampu RGB 16.8 juta warna
- LG PuriCare, pelitup muka unik dilengkapi pembersih udara, kipas & mikrofon